KLANG: Parti Amanah Negara (Amanah) akan menumpukan kepada pembinaan identiti parti dan tidak mahu terlalu bergantung kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam meningkatkan pengaruh dan sokongan rakyat kepadanya.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd. Samad berkata, ini bagi memastikan penerimaan rakyat serta pemahaman mereka terhadap perjuangan Amanah.
“Dalam ucapan presiden sudah dijelaskan hala tuju. Kita hendak tumpukan dan bina balik supaya orang faham apa yang kita perjuangkan kerana selama ini kita selalu tertumpu kepada Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan.
“Kini, kita hendak tumpu kepada Amanah itu sendiri biar orang semua faham apa yang Amanah perjuangkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan pemilihan Amanah dalam konvensyen nasionalnya yang bermula semalam dijangka tidak mencetuskan perubahan besar apabila Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu dijangka kekal bagi penggal terakhirnya.
Bagaimanapun, ada desakan supaya parti itu diberikan nafas baharu supaya dapat meningkatkan pengaruh serta penerimaan rakyat terhadapnya bagi mendepani pilihan raya akan datang.
Mohamad, dalam Pidato Presiden semalam, menjelaskan, parti itu mempunyai kekuatan strategi dan pendekatan politik menerusi politik gabungan sebagai asas kekuatannya.
Dalam pada itu, Pengarah Strategi, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang juga Menteri Kesihatan menjangkakan tiada lonjakan besar atau perubahan baharu ketara dalam menentukan dasar dan haluan parti.
“Sebagai sebuah parti, kita sangat terbuka kerana pimpinan kita adalah bersifat kolektif bersama. Dalam tempoh dua penggal atau lapan tahun kita sudah memposisikan parti dengan sangat baik, presiden dan timbalan memainkan peranan. Kita ada strategi yang bagus dan pembinaan bersama serta ideologi kita mantap,” tegasnya.
Pemilihan parti pada hari ini akan menentukan 27 jawatankuasanya sebelum pelantikan presiden dan timbalan serta tiga naib presiden ditentukan. Seramai 102 orang dicalonkan bagi penentuan kedudukan tersebut yang akan dipilih lebih 1,000 perwakilan.
Konvensyen yang berlangsung semalam sehingga hari ini menerima kehadiran lebih 1,000 perwakilan dari seluruh negara dan seramai 17 wakil negeri dan sayap terlibat dalam perbahasan. – UTUSAN










