KOTA BHARU: Seorang pemilik kedai emas mengagihkan 5,000 keping putu halba secara percuma kepada pengguna jalan raya di sini hari ini.
Murtadhatumizi Mustapha berkata, agihan tersebut turut bertujuan membantu peniaga kecil menambah pendapatan pada musim tengkujuh.
“Seperti yang kita tahu peniaga-peniaga kecil di Kelantan pasti akan berdepan cabaran setiap kali tibanya musim tengkujuh terutamanya dalam menghadapi cuaca hujan lebat berterusan.
“Dengan adanya program sebegini sekurang-kurangnya mereka boleh meraih pendapatan sampingan. Untuk kali ini kami jemput seramai empat peniaga kecil dari sekitar Kota Bharu dan Tumpat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Murtadhatumizi memberitahu, agihan itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya kepada masyarakat.
“Putu halba adalah kuih atau hidangan tradisional yang cukup unik di negeri ini. Ia hanya dijual pada musim tengkujuh dan menjadi pilihan orang-ramai sebagai hidangan mimum petang di kala hujan melanda.
“Saya turut melihat putu halba dan ikan darat boleh dijadikan produk pelancongan pada musim tengkujuh di negeri ini,” ujarnya.-UTUSAN