PETALING JAYA: Seramai 6,576 penjenayah dipakai peranti pemantauan elektronik (EMD) sejak November 2015 sehingga 15 November lalu bagi membolehkan pergerakan mereka dipantau polis.
Pesalah yang dipakaikan peranti itu adalah mereka yang terlibat dengan kegiatan kongsi gelap selain jenayah kekerasan, harta benda, perjudian, dadah, pelacuran, penyeludupan migran (ATIPSOM) dan jenayah komersial (JSJK).
Turut dipakaikan pesalah-pesalah di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 selain Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan orang kena tahan yang diberi jamin mahkamah di bawah Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemakaian peranti EMD ini sekali gus mengurangkan jenayah berulang selain boleh mengurangkan kesesakan di penjara.
Menurut beliau, bagi mengatasi masalah kesesakan ini, banduan boleh diberikan perintah parol serta dipakaikan EMD bagi tujuan pemantauan oleh pihak berkuasa.
“Daripada 6,576 pesalah yang dipakaikan EMD, kita dapati hanya 167 orang pengawasan polis dilaporkan melakukan kesalahan semula dan dituduh di mahkamah.
DIAWASI
“Peratusan kejadian jenayah berulang lebih kurang tiga peratus daripada jumlah orang yang diawasi polis (OPP),” katanya di sini.
Razarudin berkata, peranti EMD ini akan dipasang di bahagian pergelangan kaki pemakai.
Kata beliau, satu set peranti EMD mempunyai lima perkakasan iaitu tag pintar (smart tag), bikon (beacon), pengikat (strap), on body charger (OBC)
Menurut beliau, apabila semua alat pada EMD dihidupkan, pihak berkuasa boleh mengesan seseorang itu dari mana-mana sahaja mereka berada dalam tempoh 24 jam sehari.
“Menerusi tag pintar ini membolehkan pihak berkuasa berkomunikasi dengan cara Radio Frequency (RF), Sistem Pengesan Global (GPS), Sistem Talian Komunikasi Mudah Alih (GSM) dan Wifi.
“Selain itu, pemakai peranti ini juga boleh dipantau menerusi sistem selain mempunyai ketahanan bateri sehingga tujuh hari,” jelasnya.
Razarudin berkata, peranti ini juga kalis air sedalam lima meter dengan mengikut standard (IP-68) dan dilengkapi dengan SiRF 4 chipset dan A-GPS yang terkini.
MUDAH
Beliau berkata, peranti ini turut dilengkapi dengan SIM chip yang boleh berkomunikasi dengan pelbagai telco dan mudah dipasang.
“Peranti EMD ini juga bebas daripada litar pintas dan paling ringan dalam pasaran iaitu 68 gram. Ia juga menahan kuasa tarikan sehingga 150 kilogram dan sukar dipotong.
“Peranti yang digunakan kita (polis) juga nipis di dalam pasaran iaitu memiliki ketebalan 20 milimeter (mm) sehingga 50 mm,” kata beliau.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, peranti EMD ini juga bersaiz kecil dan plug yang mana pengesanan boleh dilakukan dalam radius 200 meter secara mudah alih.
Jelas beliau, menerusi RF bicon ini boleh meningkatkan pengesanan di lokasi pedalaman dan meningkatkan bateri tag pintar.
“Bagi OBC, ia juga mudah alih dengan pengecas tanpa wayar serta kalis air.
“Pengikat peranti ini pula dilengkapi dengan fiber optik dengan pelbagai saiz selain dilengkapi dengan jalur keluli tahan karat dan kalis regangan,” katanya. – UTUSAN










