Empat CCTV di Apt Idaman tapi blok didiami Zayn Rayyan tiada

Empat CCTV di Apartmen Idaman tapi blok didiami Zayn Rayyan tiada CCTV

Penyelia Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartment Idaman, Nor Haizam Hidir menunjukan CCTV yang ada di kawasan sekitar Apartment Idaman, Damansara Damai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kawasan penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak diawasi  kamera litar tertutup (CCTV) kerana di luar penyeliaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Malah laluan ke lokasi penemuan mayat mangsa  mungkin hanya  diketahui penghuni yang tinggal di blok berhampiran Blok R apartmen tersebut. Apartmen Idaman mempunyai lebih 2,000 unit dengan 70 peratus didiami warga tempatan.

Penyelia JMB, Nor Haizam Hidir berkata, sekitar apartmen tersebut mempunyai empat kamera CCTV yang ditempatkan di laluan keluar masuk kediaman, surau dan kawasan dewan serta pejabat JMB.

Bagaimanapun, menurut beliau, blok kediaman Zayn Rayyan tidak dilengkapi CCTV.

“Kami memang tidak pasti kawasan kejadian itu tanah persendirian atau milik kerajaan dan ia memang jarang dilalui penduduk. Kalau ada orang bercucuk tanam di situ adalah tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini empat CCTV di apartmen ini belum diminta polis.

PAGAR

Sementara itu, Eksekutif Pengurusan dan Kewangan JMB Apartmen Idaman, Norasreta Ibrahim berkata, penambahan CCTV dan pemasangan pagar memang dalam perancangan pihaknya, namun tidak menyangka berlaku kejadian kanak-kanak dibunuh.

“Sebelum ini kalau ada kejadian jenayah pun hanya kes kecil seperti kecurian motosikal dan pecah rumah. Kes jenayah seperti berlaku ke atas Zayn Rayyan ini kali pertama berlaku,” katanya.

Katanya, JMB akan segera menambah baik sistem CCTV demi keselamatan dan keselesaan penghuni di 2,484 unit kediaman termasuk 21 unit kedai atas tanah berkeluasan lapan hektar.

Salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kebanyakan penduduk tidak mengetahui mengenai laluan saliran air yang menjadi lokasi mayat kanak-kanak itu ditemui.

“Kami memang tidak pernah lalu kawasan itu, malah takut kerana ia dipenuhi belukar. Tambah pula apabila jadi kes ini, lagi takut nak masuk situ,” katanya.

Pada Selasa lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah pukul 12.30 tengah hari, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.

Operasi pencarian dijalankan oleh polis termasuk kerjasama unit anjing pengesan (K9) dan bomba di sekitar kawasan apartment sebelum allahyarham ditemui meninggal dunia pada malam Rabu.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan bunuh selepas proses bedah siasat ke atas Zayn Rayyan mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan.- UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.