Wanita ganggu rumah tangga orang, motosikal dihumban ke dalam tasik - Utusan Malaysia

Wanita ganggu rumah tangga orang, motosikal dihumban ke dalam tasik

ANGGOTA bomba membantu membawa naik sebuah motosikal yang ditemukan berada di dalam tasik di Taman Tasik Bahau, Jempol pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Gara-gara tidak berpuas hati dengan perbuatan seorang wanita warganegara Indonesia yang didakwa mengganggu rumah tangga orang, seorang lelaki telah mencampakkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik wanita itu ke dalam sebuah tasik di Bahau di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, motosikal berkenaan telah ditemukan oleh seorang individu di dalam Taman Tasik Bahau pada pukul 6.30 pagi tadi dan pasukan bomba telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan bagi tujuan menyelamat.

Jelasnya, selepas motosikal itu dibawa naik pada pukul 7 pagi, anggota bomba melakukan pencarian namun tiada tanda-tanda termasuk terdapatnya mangsa terjatuh ke dalam tasik berkenaan.

Kata beliau, hasil siasatan ke atas motosikal mendapati ia tidak mempunyai rekod hilang dan siasatan lanjut pula mendapati ia telah dijual tanpa dokumen kepada seorang wanita warga Indonesia oleh pemiliknya sebelum ini yang merupakan lelaki dari negara yang sama namun telah pun meninggal dunia.

“Siasatan lanjut kemudian mendapati terdapat satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki yang juga suspek kerana tidak berpuas hati dengan wanita berkenaan yang cuba memutuskan hubungan rumah tangga rakan lelaki itu yang berada di Indonesia.

“Suami kepada rakan suspek itu pula berada di Batu Kikir, Jempol. Suspek telah memberikan amaran kepada wanita terbabit supaya tidak mengganggu lagi rumah tangga rakannya tetapi wanita terbabit masih berjumpa suami rakannya itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Jelas Chang Hook lagi, dipercayai tindakan wanita itu menyebabkan suspek berasa marah dan kira-kira pukul 11 malam semalam, semasa suspek mahu balik ke rumah, dia telah ternampak motosikal wanita berkenaan di belakang sebuah kedai makanan.

“Suspek kemudian mendapati motosikal tersebut tidak berkunci lalu menolaknya sehingga ke Taman Tasik Bahau sebelum menghumbannya ke dalam tasik,” katanya. 

Menurutnya, butiran suspek telah diperoleh dan dalam tindakan untuk kesan serta tangkap suspek yang berusia 40 tahun itu.

Tambah beliau, kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya