JELEBU: Tiada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang yang terlibat dengan gejala keracunan makanan susulan kejadian pelajar di situ yang didakwa telah dihidangkan dengan telur yang sudah rosak.
Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi kenyataan hari ini bagaimanapun memberitahu, memandang serius susulan tularnya kejadian yang melibatkan Dewan Selera di MRSM berkenaan Kuala Klawang yang didakwa menyebabkan keracunan makanan ke atas beberapa pelajar.
Jelas kenyataan itu, tindakan segera telah diambil oleh pihak pengurusan MRSM dengan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi menjalankan siasatan segera ke atas dewan selera tersebut.
“Pemeriksaan rapi oleh PKD telah dijalankan dan prestasi kebersihan persekitaran adalah baik serta proses pengendalian makanan adalah mematuhi standard yang ditetapkan.
“Lanjutan daripada pemerhatian tersebut, PKD dan pihak pengurusan MRSM telah memberi beberapa teguran ke atas pengusaha Dewan Selera.
“Pemantauan ke atas pelajar juga telah dilaksanakan dan setakat ini tiada pelajar terlibat dengan gejala keracunan makanan seperti yang didakwa,” katanya.
Semalam media melaporkan seorang ibu kesal apabila anaknya yang merupakan pelajar sebuah MRSM di daerah ini didakwanya telah dihidangkan dengan telur yang sudah rosak.
Menerusi hantaran di Facebook, wanita terbabit, Amira Alia Faizul berkata, hidangan telur kepada pelajar MRSM Kuala Klawang oleh pengusaha dewan selera sekolah itu juga dakwanya telah menyebabkan ramai pelajar turut mengalami sakit perut dan cirit birit.
Kejadian itu juga mendapat perhatian Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang telah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara untuk menyiasat kejadian tersebut dan mengambil tindakan tegas dan memastikan kes berkenaan tidak berulang.
Sementara itu, Mara memaklumkan, pihaknya sentiasa memberikan keutamaan dalam memastikan perkhidmatan yang dibekalkan oleh pembekal makanan mematuhi prosedur operasi standard dalam penyediaan makanan bermasak untuk para pelajar.
“Sehubungan itu, MARA meminta agar ibu bapa tidak perlu bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.-UTUSAN.










