PETALING JAYA: Ketiadaan permohonan daripada pasukan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) bagi mendapatkan lesen kebangsaan memberi bayangan Liga Super musim depan kekal dengan pasukan yang sama.
Permohonan lesen kebangsaan untuk musim depan yang telah tutup pada 30 September lalu menyaksikan hanya 14 pasukan Liga Super sahaja telah memohonnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa tiada pasukan daripada Liga M3 yang menghantar dokumen seperti yang diminta oleh badan pengelola liga itu walaupun sudah melepasi tarikh tutup ditetapkan.
Tambahnya, pasukan berkaitan sepatutnya mengambil tahu tarikh tutup yang ditetapkan dan segera menghantar dokumen terbabit jika mahu beraksi dalam saingan Liga Super.
“Penyingkiran dan kenaikan adalah berdasarkan kepada lesen AFL. Hal ini kerana pasukan AFL perlu menerima lesen sebelum playoff atau kenaikan boleh dilakukan.
“Sebelum saya mahu menyingkirkan pasukan perlu tahu ada yang boleh menggantikannya. Perlu mengambil kira kedudukan pasukan AFL boleh menerima lesen dan masuk ke Liga Super.
“Semua pasukan belum menyerahkan dokumen secara keseluruhan. Pasukan perlu mengambil tahu tarikh tutup diberikan MFL. Tarikh tutup sudah lepas dan setakat ini tiada pasukan AFL melengkapi syarat pelesenan,” jelasnya.
Terdahulu, dua pasukan dari Liga M3 berpeluang beraksi di Liga Super 2024, namun perkara itu tertakluk kepada kelulusan pelesenan kelab pasukan berkenaan.
Pasukan Imigresen pula boleh dikatakan sudah sebelah kaki ke Liga Super 2024 selepas muncul sebagai juara Liga M3.
Dalam pada itu, Stuart mengharapkan 14 pasukan sedia ada akan terus kekal beraksi pada musim depan namun perubahan jumlah terbabit tetap tertakluk kepada intergriti dan syarat pelesenan kebangsaan.
“Integriti dan syarat pelesenan menjadi keutamaan dalam usaha memastikan saingan liga kukuh dan stabil termasuklah jika ada penyingkiran kelak,” katanya. – UTUSAN










