PETALING JAYA: Sebanyak 36.3 peratus atau 23,869 daripada 67,758 banduan yang ditahan di 47 buah penjara di seluruh negara adalah tahanan reman membabitkan pelbagai kes jenayah kecil-kecilan terutama dadah.
Tahanan tersebut turut membabitkan orang kena tuduh (OKT) yang tidak mampu membayar wang ikat jamin walaupun hanya dituduh melakukan kesalahan kecil seperti mencuri barang-barang di pasar raya dan lain-lain premis. Dengan jumlah 23, 869 tahanan reman kerajaan terpaksa membelanjakan kos makanan RM435 juta setahun mengambil kira kos setiap tahanan RM50 sehari.
Berdasarkan statistik Jabatan Penjara sehingga 16 Oktober lalu, jumlah penghuni yang sedang menjalani hukuman dan ditahan di seluruh institusi penjara adalah 65,758 orang dengan pecahannya merangkumi 41,889 orang atau 63.70 peratus adalah banduan sabitan manakala selebihnya banduan reman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Penempatan Dan Pemulihan Penjara (Pemaaf), Mohd. Shahirul Khalid Mohamad berkata, melihat kepada angka tersebut, individu yang direman itu menjadi antara penyumbang besar kepada kesesakan penjara.
Menurut beliau, kapasiti semua 47 penjara untuk 62,000 tahanan namun mengikut data terkini penjara, semua penjara kini sedang menampung lebih 67,000 banduan termasuk tahanan reman.
KESESAKAN
Kata beliau, Penjara Kajang dan Penjara Sungai Buloh di Selangor didakwa berhadapan kesesakan terburuk apabila menempatkan 6,000 banduan, hampir dua kali ganda daripada kapasiti 3,500 orang di setiap penjara itu.
Oleh itu , Mohd. Shahirul berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membebaskan tahanan yang masih dalam proses reman berkaitan kes-kes tuduhan jenayah kecil, jenayah tanpa kekerasan dan terutama kes penagihan dadah.
Menurut beliau, cadangan tersebut adalah bagi mengurangkan kesesakan di penjara dan kos perbelanjaan yang terpaksa ditanggung kerajaan.
Kata beliau, terdapat tahanan reman terpaksa meringkuk di penjara sehingga dua tahun sementara menunggu perbicaraan selesai dan ia seolah menunjukan mereka telah bersalah walaupun mahkamah belum memutuskan keputusan.
“Perkara tersebut menyebabkan kerajaan setiap hari terpaksa menanggung kos makanan sebanyak RM50 bagi setiap tahanan dan jumlah itu tidak termasuk lagi perbelanjaan pengangkutan OKT untuk menghadiri perbicaraan mahkamah.
“Masalah ini perlu diatasi oleh kerajaan memandangkan banduan reman belum lagi disabitkan bersalah, tetapi menghantar mereka ke penjara seolah-olah mereka telah bersalah. Malah ada OKT tidak mampu bayar ikat jamin walaupun jumlah kecil, jadi akhirnya mereka dihantar ke penjara,” kata beliau.
Kata Mohd. Shahirul, sistem tersebut telah menyumbang penjara sesak, malah ada tahanan reman terpaksa tinggal bersama banduan sabitan untuk tempoh antara satu dan dua tahun.
“Tindakan mencampur banduan disabit bersalah dan tahanan reman menyebabkan mereka mengalami tekanan perasaan. Ada juga terpaksa bercerai dan hilang pekerjaan kerana status ditahan dipenjara,” katanya.
MEMBEBASKAN
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mahu kerajaan mempertimbangkan membebaskan tahanan yang masih dalam proses reman berkaitan jenayah kecil, jenayah tanpa kekerasan dan penagihan dadah.
Banduan reman merujuk kepada individu yang ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan kerana tidak mampu membayar ikat jamin atau tidak dibenarkan diberikan jaminan.
Dalam pada itu, Mohd. Shahirul berkata, badan kehakiman perlu mempertimbangkan syarat ikat jamin seperti melapor diri di balai polis berbanding mengenakan ikat jamin khususnya dalam kalangan OKT yang tidak mampu membayar ikat jamin.
Selain itu, katanya, hakim juga boleh melihat kepada keperluan bayaran ikat jamin secara ansuran sebagai langkah alternatif.
“Cara ini dilihat lebih adil apatah lagi mereka tidak mampu. Jika OKT yang berkemampuan, mereka mampu membayar ikat jamin mencecah ratusan ribu ringgit dan bebas jika dibandingkan tertuduh yang tidak mampu.
“Akhirnya mereka terjerumus menjadi pesalah berulang kerana tidak diterima masyarakat dan sukar mendapat peluang pekerjaan akibat status banduan gara-gara tidak mampu bayar ikat jamin,” katanya.
Katanya, kerajaan menerusi Jabatan Bantuan Guaman perlu memainkan peranan untuk membantu proses mitigasi OKT bagi mengurangkan jumlah jaminan atau memohon syarat ikat jamin lain sementara perbicaraan selesai. – UTUSAN










