KOTA BHARU: Aman Palestin Cawangan Kelantan mendedahkan sumbangan rakyat negeri ini kepada penduduk Palestin yang sedang ditindas oleh rejim Zionis naik sebanyak 50 peratus dari RM250,000 kepada RM500,000 sepanjang Oktober lalu.
Pengurusnya Mohd. Salmi Mohamed berkata, pertambahan sumbangan itu menunjukan tanda solidoriti dan semangat persaudaraan tinggi dalam membantu rakyat Palestin.
“Sepanjang September lalu, kutipan kita adalah sebanyak RM250,000 dan kemudian meningkat kepada RM500,000 pada Oktober.
“Kesemua kutipan ini, kita kumpul dan diserahkan kepada pihak ibu pejabat bagi membekalkan makanan kepada penduduk Gaza,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan sebanyak RM3,811 daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan yang sempurnakan oleh Timbalan Pengarah Veterinar Kelantan, Mohd. Ridzuan Sulaiman, di sini hari ini.
Mohd Salmi memberitahu, pihaknya akan terus mengumpulkan sumbangan untuk disalurkan kepada rakyat di negara berkenaan.-UTUSAN










