Sindiket penipuan sasar akaun syarikat dijadi keldai akaun - Utusan Malaysia

Sindiket penipuan sasar akaun syarikat dijadi keldai akaun

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesan semakin banyak akaun syarikat dijadikan keldai akaun oleh sindiket penipuan bagi tujuan penerimaan dan pemindahan wang dalam jumlah besar termasuk transaksi ke luar negara.

Ia susulan 156 entiti perniagaan dikesan polis disyaki digunakan sebagai keldai akaun selain ada individu memegang jawatan pengarah syarikat tetapi tidak mengetahui dirinya pengarah syarikat dan mempunyai akaun bank syarikat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya setakat ini mengesan sebanyak 86 syarikat dan 70 perniagaan yang dibuka atas tujuan jenayah penipuan.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket penipuan kini menyasarkan syarikat perniagaan bagi membuka akaun bank untuk membolehkan transaksi kewangan dilakukan lebih kerap dengan jumlah yang besar.

Kata beliau, kegiatan itu perkara serius selain menunjukkan kelompangan dalam perundangan negara.

KELDAI AKAUN

“Ini sehingga menyebabkan seseorang itu tidak sedar bahawa namanya digunakan untuk keldai akaun syarikat oleh sindiket.

“Perkara ini telah berlaku apabila kita mengesan pengarah sebuah syarikat yang digunakan sebagai syarikat keldai akaun didapati memiliki pelbagai rekod lampau kes dadah .

“Malah, pengarah itu sendiri tidak tahu serta tidak sedar bahawa dia diperalatkan sebagai pengarah syarikat keldai akaun oleh sindiket tersebut melibatkan transaksi wang yang besar,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Ramli, kegiatan tersebut perlu diambil tindakan kerana ia melibatkan transaksi wang secara tidak sah bukan sahaja dalam negara tetapi juga ke luar negara.

Justeru, beliau berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui kegiatan pembukaan keldai akaun syarikat boleh berlaku tanpa disedari pengarah syarikat itu sendiri.

“Sebagai langkah pencegahan, kita mencadangkan agar prosedur serta syarat pendaftaran syarikat dan perniagaan diperhalusi dan diperketatkan.

“Beberapa kriteria antaranya tapisan rekod jenayah dan rekod kewangan wajar dipertimbangkan untuk dijadikan sebahagian prasyarat sebelum sesebuah syarikat serta perniagaan itu didaftarkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar pembukaan akaun bank di institusi kewangan perlu dilakukan semakan yang terperinci dan syarat lebih ketat perlu sebelum pembukaan akaun bank milik syarikat atau perniagaan diluluskan.

Jelasnya, kerajaan disaran melihat pelaksanaan “Shared Responsibility Framework” oleh kerajaan Singapura dalam usaha membendung kes penipuan ‘phising’.

“Ini apabila pihak institusi kewangan yang gagal melaksanakan peranan mereka dengan sewajarnya boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar kerugian yang dialami oleh mangsa,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN