SIdang DUN: Harga durian dijangka jatuh tiga tahun lagi - Utusan Malaysia

SIdang DUN: Harga durian dijangka jatuh tiga tahun lagi

ZAHARI SARIP ditemui selepas menghadiri Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Ιskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pekebun durian di negeri ini dijangka mengalami kerugian susulan harga ‘Raja Buah’ itu termasuk Musang King dijangka jatuh dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, jangkaan itu dibuat susulan pembukaan ladang durian berskala besar oleh para pekebun ketika ini.

Bagi mengatasi isu itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membina pusat pengumpulan hasil pertanian di Tangkak bagi membantu menyelesaikan isu lambakan durian sekiranya berlaku dalam pasaran tempatan. 

“Jika tidak diambil tindakan awal, saya bimbang harga durian akan jatuh melainkan durian dapat dipasarkan terus ke luar negara seperti China. 

“Ketika pandemik Covid-19 yang lalu, durian tidak dapat dieksport ke China. Kita tidak mahu lambakan durian berlaku. 

“Oleh itu, cadangan pembinaan pusat pengumpulan hasil pertanian ini cukup penting agar isi durian dapat disejukbekukan dan dipasarkan sepanjang tahun,” katanya ditemui selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pada 2021, Johor mengeluarkan sebanyak 121,898 tan metrik durian, melibatkan 31,255 pengusaha dengan keluasan keseluruhan seluas 19,171 hektar.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, ribuan hektar ladang durian dibuka terutamanya di Muar dan Tangkak dengan varieti paling banyak ditanam adalah Musang King selain IOI dan D24 yang bernilai tinggi dalam pasaran.

“Sekarang harga durian Musang King sebiji RM90 hingga RM120. Jadi, kita perlu ada perancangan untuk mengelak berlaku lambakan pengeluaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN