Sidang DUN: 12,350 OKU bekerja terima gaji RM1,500, insentif RM500 - Utusan Malaysia

Sidang DUN: 12,350 OKU bekerja terima gaji RM1,500, insentif RM500

KHAIRIN-NISA ISMAIL menjawab soalan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Seramai 12,350 orang kurang upaya (OKU) bekerja di negeri ini yang menerima pendapatan maksimum sebanyak RM1,500 dan turut menerima insentif Elaun Pekerja OKU (EPOKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, pemberian insentif itu selari dengan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan dan mendayaupayakan golongan tersebut yang turut mempunyai hak dan peluang sama rata untuk menyumbang terhadap pembangunan industri, negeri dan negara.

“JKM menerusi Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan dibangunkan bertujuan untuk melatih OKU menerusi latihan vokasional serta pemulihan perubatan. 

“Selain itu, Bengkel Terlindung telah ditubuhkan mengikut Kaedah-Kaedah Workshop Terlindung 1979. Bengkel ini dikhaskan untuk OKU untuk mendapat pekerjaan dalam pasaran terbuka,” katanya menjawab soalan Abdul Aziz Abd. Talib (PN-Maharani) dan N. Saraswati (BN-Kemelah) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Khairin-Nisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom memberitahu, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan JKM Johor turut melaksanakan program Job Coach bagi memastikan OKU mampu berdikari, bersaing dan kekal dalam alam pekerjaan.

“Hingga kini seramai 190 OKU yang mengikuti program di bawah Unit Pembangunan OKU YPKDT ini telah ditempatkan bekerja dalam sektor awam dan swasta dan mereka masih lagi bertahan.

“Selain itu, seramai 58 penjawat awam yang berkhidmat di bawah kerajaan negeri Johor juga merupakan OKU dalam pelbagai kategori,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN