Punca kebakaran gerai di Telok Kemang masih dalam siasatan - Utusan Malaysia

Punca kebakaran gerai di Telok Kemang masih dalam siasatan

KEADAAN sebuah gerai yang musnah dalam kejadian kebakaran di Dataran Telok Kemang, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Punca kejadian kebakaran yang memusnahkan sembilan buah gerai di hadapan Dataran Telok Kemang di sini malam semalam masih lagi di dalam siasatan dan laporan mengenainya akan diketahui dalam tempoh 14 hari.

Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Penguasa Kanan Bomba 2, Jelani Ahad berkata, dalam kejadian tersebut empat buah gerai daripada keseluruhan yang terjejas telah musnah 100 peratus.

“Pasukan bomba dari tiga buah balai bomba iaitu Telok Kemang, Port Dickson dan Seremban 2 telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.16 malam semalam.

“Empat gerai musnah 100 peratus, lima buah kedai terbakar 25 peratus dan pihak bomba berjaya menyelamatkan tujuh buah lagi gerai dari turut musnah.

“Api berjaya dikawal pada pukul 9.01 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11 malam. Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan dan laporan akan diketahui dalam tempoh 14 hari,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, seorang peniaga, Nur Ayu Nazira Abdullah, 21, memberitahu, sejak petang semalam dia ada terhidu seperti getah terbakar namun peniaga ada memeriksa kedai masing-masing tetapi tiada yang mencurigakan.

“Kami memang tidak menyangka bau berkenaan rupanya datang dari sebuah gerai yang sudah lama tidak beroperasi dan api dilihat mulai marak di kedai berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd. Faizal Ramli berkata, pihaknya akan mengenal pasti pemilik sebenar gerai yang terjejas serta tahap kerosakan yang dialami sebelum menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun juga turun melawat ke lokasi kebakaran pada malam semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menzahirkan terima kasih kepada pihak bomba, polis dan semua pihak yang membantu mengawal kebakaran berkenaan.

“Walaupun kebakaran yang berlaku sangat besar, saya bersyukur tidak ada kemalangan jiwa yang dilaporkan,” katanya.-UTUSAN.

//habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya