KOTA BHARU: Pas mengingatkan seluruh jentera parti itu supaya tidak terlalu yakin dalam usaha mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Disember ini.
Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebalinya beliau mahu seluruh jentera parti terus bekerja keras bagi memastikan peratusan keluar mengundi dapat ditingkatkan.
“Dengan cara ini, kita dapat mengekalkan sokongan sekali gus mempertahan kerusi Parlimen Kemaman. Keputusan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokthar dibuat kerana kita (Pas) memikirkan ia merupakan satu keperluan.
“Kita bukan saja-saja meletakkan beliau sebagai calon di Parlimen Kemaman tetapi ada sebabnya. Ada agenda negeri yang boleh dibawa ke peringkat pusat secara terus,”katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Palestin di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, pada masa sama Ahmad Samsuri boleh memberikan jawapan terus di parlimen sekiranya Terengganu di serang.
Katanya, Ahmad Samsuri adalah individu paling layak membawa agenda berkenaan adalah Menteri Besar Terengganu
“Sentimen sama dilakukan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang apabila menteri besar serta ketua menteri masing-masing juga merupakan Ahli Parlimen dalam blok Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.-UTUSAN