Perlu kerjasama dengan agensi keselamatan jika mahu bantu mangsa banjir

Perlu kerjasama dengan agensi keselamatan jika mahu bantu mangsa banjir

ABDUL Wahab Mat Yassin (kanan) melawat gerai selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Inovasi JBPM 2023 di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemilik-pemilik bot persendirian di negeri-negeri yang terlibat banjir disarankan untuk bekerjasama dengan agensi keselamatan untuk membantu operasi menyelamat dan memindahkan mangsa semasa musim tengkujuh.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, kerjasama antara agensi keselamatan dan pemilik bot persendirian itu perlu apabila mereka lebih mahir mengenai selok-belok kawasan masing-masing sekali gus dapat membantu operasi menyelamat mangsa banjir.

Menurutnya, dalam usaha untuk membantu operasi menyelamat, pemilik bot persendirian boleh melapor diri di balai polis dan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau di pos bantuan yang ditempatkan di kawasan masing-masing.

“Kita memang memerlukan bantuan daripada masyarakat setempat yang bukan sahaja mahir dalam pengendalian bot, malah lebih tahu selok-belok kawasan masing-masing.

“Kerjasama itu akan memudahkan dan mempercepatkan lagi proses bantuan menyelamat mangsa banjir,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Inovasi JBPM 2023 di Mydin Mall, Tunjong di sini petang tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Wahab memberitahu, menerusi kerjasama itu, agensi keselamatan akan membantu membekalkan keperluan kepada pemilik atau pengendali bot termasuk jaket keselamatan dan bahan api.

Katanya, berdasarkan pengalaman lalu, pemilik bot persendirian di sesetengah tempat sudah dikenal pasti dan JBPM juga sudah membuat latihan menyelamat bersama mereka yang terlibat.

“Pemilik bot persendirian perlu mempunyai sekurang-kurangnya jaket keselamatan. Walaupun mereka mahir dalam keadaan arus banjir, namun kita tidak tahu perkara yang akan berlaku di luar jangkaan.

“Keselamatan diri dan penumpang perlu diutamakan. Sebaik-baiknya, bantuan menyelamat dilakukan bersama agensi penyelamat,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya