ALOR SETAR: Bekalan ayam dijangka berkurangan dalam tempoh sebulan akan datang ekoran tindakan penternak mengambil sikap berhati-hati untuk membawa masuk anak ayam ke ladang masing-masing susulan langkah kerajaan mengapungkan harga sumber protein itu.
Pengarah Urusan Ayam Bismi Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Mazlina Kamarudin yang juga penternak berkata, situasi itu berkemungkinan berlaku awal Disember ini kerana penternak kecil dan sederhana masih bergelut dengan kos ternakan yang tinggi.
Katanya, meskipun akur dengan keputusan dibuat kerajaan, namun kesan yang membimbangkan sehingga boleh membawa kepada perubahan harga tidak dapat dielakkan berikutan kos anak ayam dan dedak yang hanya turun sedikit masih dianggap terlalu tinggi ketika ini.
KARTEL
“Apabila kos meningkat dan kalau kerajaan tidak masuk campur terutama dengan harga anak ayam dikuasai oleh kartel besar, penternak kecil dan sederhana ini akan terkesan. Penternak akan risau untuk masuk anak ayam di ladang, jadi pengeluaran ayam akan terjejas.
“Pengeluaran mungkin terjejas selepas November ini kerana selepas subsidi ditamatkan akan ada penternak yang mengurangkan kemasukan anak ayam antara 10 hingga 20 peratus ketika ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, rasionalisasi daripada tindakan menamatkan subsidi bermula 1 November adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan penduduk berpendapatan tinggi.
Mazlina pada masa sama meminta kerajaan mempertimbang untuk mengekalkan harga ayam tanpa kawalan termasuk pada musim perayaan.
“Kita mohon daripada kerajaan kalau harga diapungkan, biarlah selamanya tidak kira musim perayaan kerana penternak kecil dan sederhana ini terpaksa bersaing dengan pemain gergasi dalam sektor ini,” katanya.
DRASTIK
Sementara itu, Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyifatkan tindakan kerajaan mengapungkan harga ayam bermula esok sebagai terlalu drastik dan tidak sesuai waktunya.
Menurut Pengerusinya, Mohamad Yusrizal Yusoff, tindakan itu dikhuatiri mengakibatkan kenaikan harga sumber protein itu di pasaran ekoran permintaan yang dijangka tinggi menjelang musim perayaan seperti Deepavali dan cuti sekolah hujung tahun ini.
“Kerisauan pengguna harga barang akan naik sedikit demi sedikit disebabkan penternak atau pemborong berkemungkinan mengambil kesempatan. Sekarang hujung tahun, permintaan ayam selalunya tinggi kerana cuti sekolah dan musim perkahwinan.
“Beberapa hari lagi akan tiba Deepavali, jadi sudah satu kebiasaan dalam hukum pasaran apabila permintaan tinggi harga ayam akan turut tinggi. Kita jangka pesta kenaikan harga ayam akan berlaku dan pengguna akan menerima kesannya,” katanya.
Tambah beliau, Cake meminta agensi penguatkuasaan bersedia untuk memperkasa pemantauan berkaitan bagi memastikan kenaikan itu adalah munasabah. – UTUSAN










