Pemandu lori didenda RM3,500 langgar kedai gunting rambut, ugut pekerja - Utusan Malaysia

Pemandu lori didenda RM3,500 langgar kedai gunting rambut, ugut pekerja

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang pemandu lori didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melanggar kedai gunting rambut dan mengugut tukang gunting  warga asing pada 16 November lalu.

Tertuduh, P.Murugan, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan secara berasingan dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi pertuduhan melanggar kedai gunting rambut, jika gagal bayar boleh dipenjara tiga bulan.

Manakala bagi pertuduhan mengugut seorang lelaki warga asing, tertuduh didenda RM1,500 dan boleh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan khianat dengan cara melanggar pintu masuk kedai gunting rambut menggunakan sebuah kereta Proton Waja sehingga menyebabkan kerosakan pada premis itu.

Kesalahan itu dilakukan di Kedai Gunting Rambut, Jalan Seremban, Taman Mika Mas di sini lebih kurang pukul 2.30 petang, 16 November lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, di lokasi dan masa yang sama tertuduh telah menakutkan secara jenayah iaitu ugutan hendak menyebabkan kematian terhadap seorang tukang gunting warga asing.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang mana jika ugutan itu menyebabkan kematian atau cedera parah boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal.

Sebelum ini media melaporkan, gara-gara tidak berpuas hati menunggu giliran yang lama untuk menggunting rambut seorang lelaki sanggup melanggar bahagian pintu hadapan sebuah kedai gunting rambut di Jalan Seremban, Taman Mika Mas di sini pada 16 November lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed berkata, suspek seorang lelaki tempatan telah mengundurkan kenderaan yang diparkir di hadapan kedai dan kemudiannya telah melanggar bahagian pintu masuk kedai menyebabkan kerosakan pada hadapan premis tersebut. 

 Beliau berkata, bertindak atas maklumat, suspek berusia 44 tahun telah ditahan di sebuah tapak pembinaan di Kota Warisan, Sepang, Selangor lebih kurang pukul 11.50 pagi, 20 November lalu.

Turut dirampas adalah sebuah kenderaan jenis Proton Waja yang digunakan oleh suspek semasa kejadian dan siasatan mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya