Naikkan harga lantai padi adil buat pesawah - Utusan Malaysia

Naikkan harga lantai padi adil buat pesawah

Petani dakwa pembekal benih padi jual lebih tinggi daripada harga disaran kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera menaikkan harga lantai padi dan benih padi bagi mening­katkan penghasilan beras tempatan, sekali gus menampung ke­perluan beras dalam negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Che Ani Mat Zain berkata, langkah itu lebih adil kepada pesawah kerana mengimbangi harga padi di sawah dengan harga beras di pasaran.

“Kerajaan perlu stabilkan harga beras tempatan dan beras import supaya pengilang boleh menaikkan harga padi untuk beras tempatan kepada RM3.50 sekilogram.

“Sekarang ini, kalau nak dibandingkan dengan negara Asia, Malaysia paling murah harga beras menyebabkan yang menghadapi risiko adalah pesawah sehinggakan benih padi tidak dijual dan mengganggu jadual tanaman.

“Kebanyakan petani mendapatkan benih padi sekitar RM53 sekilogram di pasar gelap yang biasa RM40 hingga RM45,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu mengutamakan faktor ketidakcukupan penghasilan beras putih tempatan yang mana negara ketika ini hanya mempunyai kira-kira 62 peratus daripada hasil pengeluaran beras.

Mengulas lanjut, Che Ani berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya kerajaan menaikkan subsidi harga padi kepada RM200 setan untuk mengekalkan harga RM 2.60 sekilogram bagi beras tempatan.

“Kementerian Pertanian juga perlu memulangkan potongan beras padi basah 20 kilogram (kg) kepada 14kg bagi petani menjana duit lebih sekitar RM 170 satu tan dan menaikkan harga padi RM 1,500 satu tan harga lantai untuk imbangkan kenaikan harga beras yang mana sekarang RM 1,300 satu tan,” katanya.

Selain itu, Che Ani berkata, kerajaan juga perlu menyediakan satu kos khas untuk petani bagi mengelak makhluk perosak atau bencana alam ketika proses penanaman padi bagi meningkatkan hasil pengeluaran beras.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN