PETALING JAYA: Ketua Polis Negara mengesahkan keterangan individu digelar Mr. H akan diambil polis di Putrajaya petang ini.
Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, proses merakam keterangan individu berkenaan akan dilakukan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya.
Kata beliau, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis daripada pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani setakat pukul 2 petang tadi.
“Setakat ini, kita (polis) telah merakam keterangan tiga orang saksi di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Beberapa orang saksi lain akan dirakam percakapan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan,” katanya di sini.
Terdahulu, media melaporkan keterangan individu dikenali Mr. H akan diambil polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah membabitkan dua individu termasuk Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Mr.H akan dipanggil selepas Individu berkenaan dikenal pasti berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Mohammad Agus.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, siasatan juga telah dijalankan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung laporan dibuat Mohammad Agus mengenai kebocoran laporan polis yang dibuatnya.
Isnin lalu, Mohammad Agus memaklumkan telah mendedahkan maklumat individu dikenali Mr. selepas keterangannya diambil polis semalam.
Dalam masa sama,Mohammad Agus berkata, beliau juga membuat satu lagi aduan berhubung penularan laporan polis yang dibuatnya sebelum ini berkaitan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.
Sebelum itu, rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak Khamis lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.
Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H. – UTUSAN