ISKANDAR PUTERI: Mimpi ngeri berulang buat Ulsan Hyundai apabila tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, malam semalam.
Musim lalu, anak buah Hong Myung-bo juga tewas dengan jaringan yang sama dengan gol kemenangan dijaringkan pada hujung permainan.
Myung-bo hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila juara Liga Korea Selatan itu gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan pada minit akhir perlawanan bagi menyamakan kedudukan dan membawa pulang satu mata.
“Kami seharusnya menjaringkan gol kedua pada minit-minit akhir perlawanan bagi menjadikan kedudukan 2-2 namun ia tidak berlaku seperti yang dimahukan. Peluang yang terhidang dinafikan kekebalan benteng pertahanan JDT dan penjaga golnya.
“Pemain telah memberikan segala sehingga wisel penamat, saya boleh anggap ini bukan malam untuk Ulsan Hyundai dan terpaksa menerima kekalahan buat dua musim berturut-turut kepada JDT,” katanya.
Bekas pemain kebangsaan Korea Selatan itu berkata, kelekaan pemain pada 10 minit terakhir permainan dimanfaatkan pemain lawan yang menunggu masa untuk membuat ‘counter attack’ dan berjaya mencipta jaringan kemenangan.
Beliau menyifatkan ketiadaan dua tonggak utama, Kim Tae-hwan dan Gustav Ludwigson menjejaskan rentak permainan Ulsan Hyundai dalam misi membawa pulang tiga mata berharga.
Katanya, ketiadaan Ludwigson yang meledak dua gol ketika menentang JDT di Stadium Munsu, Ulsan, 24 Oktober lalu menyebabkan jentera serangan pasukan kurang menyengat.
“Kekalahan ini bukanlah satu pengakhiran buat pasukan bahkan peluang terbuka buat kedua pasukan JDT dan Ulsan. Dalam dua baki perlawanan ini, apa-apa boleh berlaku.
“Kita mahu lupakan kekalahan ini dan memberi tumpuan untuk perlawanan mendatang menentang BG Pathum United di tempat lawan dan Kawasaki Frontale di laman sendiri,” katanya. – UTUSAN