Masyarakat belum percaya PBD, sukar move on dari UPSR - Utusan Malaysia

Masyarakat belum percaya PBD, sukar move on dari UPSR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masyarakat masih belum percaya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mampu meningkatkan keupayaan murid sehingga sukar melupakan peperiksaan Ujian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan secara rasmi pada 2021.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Dr. Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan semula UPSR mendapat desakan tinggi kerana PBS itu belum mempunyai kepercayaan yang tinggi dalam kebanyakan masyarakat.

Sedangkan, katanya, PBS menilai pelajar secara holistik yang merangkumi sahsiah serta tahap kecergasan murid dan bukannya akademik semata-mata.

“Walaupun tidak ada UPSR, peperiksaan masih ada. Kita ada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA). Maksudnya peperiksaan untuk mengesan pencapaian murid dalam akademik masih ada, cuma memansuhkan peperiksaan berpusat kerana berasakan ia tiada keperluan.

“Tetapi disebabkan kurang menjelaskan tentang kelebihan atau kebaikan PBS kepada masyarakat, maka mereka mahukan UPSR. Sedangkan di negara maju, mereka nak pentaksiran dalam bentuk bilik darjah dan bukan peperiksaan sebab peperiksaan hanya akademik sedangkan banyak perkara lain yang patut diukur supaya boleh penambahbaikan.

“Misalnya kalau guru tahu pelajar itu lemah dalam kecergasan, tetapi UPSR tak boleh beritahu anaknya berada dalam fizikal tidak cergas. Jadi masyarakat kena diberi pemahaman bahawa PBS jauh lebih baik kerana ia dapat memberi maklumat tentang murid itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai polemik pemansuhan yang masih berlarutan walaupun peperiksaan itu sudah dimansuhkan dua tahun lalu.

Terbaharu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) , Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan, pihaknya sukar menilai keupayaan dan kualiti sebenar pelajar berikutan ketiadaan UPSR.

Sebelum ini Kementerian Pendidikan (KPM) bertegas tidak akan mengembalikan semula UPSR dalam masa terdekat walaupun menerima banyak permintaan dalam kalangan ibu bapa.

TUMPUAN

Sebaliknya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 selain agenda jelajah jerayawara pendidikan masa depan.

KPM melancarkan Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian sejak Ogos lalu sebagai langkah untuk membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, masyarakat cuma boleh melihat PBS memberi makna besar dalam sistem pendidikan sekiranya ia mendapat kepercayaan daripada mereka.

Berbanding UPSR, beliau berkata, peperiksaan itu lebih kepada mengukur potensi murid dalam bidang akademik semata-mata sehingga mewujudkan stigma pelajar lemah jika mereka tidak tidak menyerlah dalam peperiksaan itu.

“UPSR dibatalkan kerana kita sudah memahami bahawa setiap murid ada pelbagai potensi dan bukan akademik sahaja. Jadi, sekolah rendah adalah tempat untuk cungkil potensi dan bakat dalam murid-murid dan bukan menggagalkan mereka terlalu awal (jika tidak berjaya UPSR).

“Ada murid tidak pandai matematik, tetapi pandai subjek bahasa. Ada murid tidak pandai akademik, tetapi mempunyai kemahiran komunikasi dengan baik.

“Selain itu, apabila UPSR memberikan isyarat kepada mereka bahawa mereka bukan pelajar hebat dan cemerlang, jadi tidak adil menghukum murid di peringkat sangat muda. Sedangkan dia masih ada masa untuk belajar lagi. Sebab itu kita tak nak ada stigma dalam pemikiran dia bahawa dia pelajar lemah,” katanya.

Beliau berkata, walaupun UPSR dimansuhkan, setiap institusi sekolah berasrama mempunyai ujian khusus masing-masing bagi menilai potensi murid.

Katanya, ini kerana ujian khusus itu direka bentuk supaya sesuai dengan matlamat institusi berkenaan.

“Jadi kumpulan murid yang berminat masuk ke mana-mana institusi berasrama boleh mengambil ujian khusus, jadi tidak timbul adakah pemansuhan UPSR akan bermasalah kepada kemasukan institusi itu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN