Malaysia tidak sokong pengganas - Utusan Malaysia

Malaysia tidak sokong pengganas

NWAR Ibrahim bertemu pelajar sebelum menyampaikan syarahan di Universiti California, Berkeley sempena lawatan kerja sempena Kerjasama Ekonomi Asia-Pasi k APEC di San Francisco, Amerika Syarikat semalam. – GAMBAR PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia dalam konflik Palestin-Israel diputarbelitkan sehingga dituduh bersetuju dengan tindakan pengganas.

Mempertahankan pendirian negara, Perdana Menteri berkata, Malaysia mengutuk semua bentuk keganasan yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza.

“Kami mengutuk keganasan dalam semua bentuk dan kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membunuh orang tidak berdosa dan menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan.

“Begitu juga, kami dengan tegas mengutuk tindakan mengebom orang awam, rumah, hos­pital serta mencetuskan ke­kejaman terhadap orang tidak berdosa, kanak-kanak, wanita, lelaki, tak kira siang atau malam di Gaza tanpa hukuman.

“Ini adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terbuka,” kata beliau ketika berucap di University of California, Berkeley, San Francisco, Amerika Syarikat semalam.

Malaysia mempunyai hubu­ngan baik dengan Hamas yang diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarika (AS), Israel dan kebanyakan negara Eropah.

KRISIS

Menurut Anwar, Malaysia me­lihat situasi di Gaza sebagai sebuah krisis pembantaian terhadap rakyat Palestin secara rambang atas nama ‘memerangi keganasan’ oleh rejim Zionis Israel.

Justeru, katanya, tindakan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan dan perlu dihentikan serta-merta.

“Akhirnya, konflik ini bukan tentang tuhan mana yang kita sembah. Lagi pun, lebih 11,000 mangsa di Gaza terdiri daripada orang Islam dan Kristian serta warganegara pelbagai negara.

“Ia adalah mengenai mencegah lebih banyak kematian, lebih banyak penderitaan dan lebih banyak kebencian,” katanya.

Kata Anwar, menyokong perjuangan rakyat Palestin tidak boleh ditafsirkan sebagai ucapan kebencian (hate speech) mahu pun menyokong organisasi pengganas.

“Apa yang berlaku hari ini di Palestin akan memberi kesan kepada kita semua. Implikasi daripada konflik ini sangat ketara dan berpanjangan.

“Ia akan menjejaskan bukan saja Palestin atau meluas ke Asia Barat, sebaliknya ia juga akan meninggalkan kesan terhadap hubungan global untuk beberapa tahun mendatang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN