SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan FC, menamatkan badi kekalahan dalam lima perlawanan sebelum ini apabila menewaskan PDRM FC dengan keputusan 2-0 dalam aksi ke-24 Liga Super malam ini.
Beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, aksi perlahan dan berhati-hati ditampilkan serta tiada banyak peluang mencipta jaringan diperoleh kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, pada separuh masa kedua, perlawanan bertukar rancak dan tuan rumah terus mendapatkan gol pertama pada minit ke-48.
Ia hasil jaringan R. Barathkumar yang menyudahkan hantaran Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi sekali gus menewaskan Mohamad Ramdhan Ab Hamid di gawang PDRM.
Tersentak dengan jaringan itu, pelawat melancarkan beberapa serangan namun Negeri Sembilan kental bertahan ditambah aksi tangkas Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengawal gawang.
Hasil satu serangan balas, pasukan Jang kemudian berjaya mencipta gol kedua dan kali ia dijaringkan oleh pemain gantian, A. Selvan pada pada minit ke-78.

Menuju ke penghujung perlawanan, tuan rumah berpeluang untuk menambah jaringan namun ia gagal disudahkan oleh pemain pertahanan, Che Rashid Che Halim walaupun dia hanya satu lawan satu dengan Mohamad Ramdhan.
Perlawanan kekal memihak Negeri Sembilan sehingga tamat masa sekali gus meraih tiga mata berharga malam ini.
Berbaki dua perlawanan, Negeri Sembilan kini mengumpul 24 mata hasil lima kemenangan dan sembilan keputusan seri yang dicatatkan serta berada di kedudukan kesembilan liga memintas Perak FC yang tewas 0-4 kepada Selangor FC pada aksi petang tadi.
PDRM pula kekal dengan 34 mata hasil 10 kemenangan dan empat kali mencatatkan keputusan seri.-UTUSAN.