LADA gagal kutip hasil pajak, PAC siasat Kementerian Kewangan  - Utusan Malaysia

LADA gagal kutip hasil pajak, PAC siasat Kementerian Kewangan 

MAS Ermieyati pada sidang akhbar di pusat media di Parlimen hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Kewangan pada 30 November ini  bagi memberi keterangan berhubung Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). 

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, isu melibatkan LADA terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini mengenai kegagalan lembaga itu mengutip hasil pajakan projek.

“Bagi prosiding PAC untuk isu-isu di LKAN Tahun 2022, PAC akan memberi tumpuan kepada tajuk-tajuk yang dikenal pasti mempunyai unsur 3P iaitu penyelewengan, penyalahgunaan dan pembaziran serta 1K iaitu kecuaian. 

“Maka, kami telah membuat keputusan untuk memanggil Kementerian Kewangan untuk menjelaskan tentang pengurusan LADA pada Khamis minggu depan. 

“PAC akan memaklumkan dari semasa ke semasa bagi tajuk lain untuk prosiding PAC,” katanya dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen di sini hari ini.

Beliau bersidang bersama Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi serta ahli-ahli PAC selepas mendengar taklimat berhubung tiga laporan LKAN yang dibentang di Dewan Rakyat. 

LKAN 2022 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan menyatakan LADA gagal mengutip hasil pajakan tanah bagi dua projek keseluruhan bernilai RM11.49 juta iaitu projek pembangunan Hotel St. Regis sebanyak RM3.19 juta sejak tahun 2018. 

Satu lagi projek iaitu perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak tahun 2003.  

LKAN 2022 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan, pengauditan membabitkan 14 kementerian dengan 16 laporan dilaporkan serta 55 syor audit dikemukakan dengan jumlah keseluruhan pengauditan berjumlah RM208.882 bilion. 

DESTINASI

LADA diperbadankan mengikut Akta Lembaga Pembangunan Langkawi 1990 untuk membangunkan Pulau Langkawi serta memajukannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Ia ditubuhkan pada 15 Mac 1990 dan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan (Perbendaharaan Malaysia). 

Sementara itu, Wan Suraya dalam sidang akhbar sama berkata, secara keseluruhan di dalam laporan LKAN 2022, masih terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan aktiviti/projek/program kerajaan dari tahun 2016 hingga 2022. 

Katanya, terdapat isu menjurus kepada kerugian wang awam, pembaziran dan pembayaran tidak teratur disebabkan kegagalan mematuhi peraturan atau prosedur yang ditetapkan. 

“…selain kurang teliti semasa merancang aktiviti/projek/program serta pemantauan yang tidak konsisten dan tidak teliti,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan isu yang dibangkitkan dalam LKAN sedang diambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan. 

“Antaranya seperti pengurusan program penanaman padi, pengurusan ramalan dan amaran banjir, kelestarian pengangkutan awam darat serta projek naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya