KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkait isu berkait cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, menerusi pertemuan itu pihaknya akan membentangkan perkara tersebut secara terperinci kepada pihak kementerian.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan bertemu dan membentangkan perkara tersebut. Untuk maklumkan, kita (kerajaan negeri) sebelum ini sudah memberikan maklumat lengkap secara bertulis berkait perkara tersebut.
“Saya lihat salah faham berkait dengan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas kenyataan Nik Nazmi yang memberitahu kerajaan akan mengadakan perbincangan secara menyeluruh mengenai cadangan pengubahsuaian KSAS di negeri ini dalam tempoh dua minggu lagi.
Terdahulu beliau menghadiri Malam Mahabbah Media Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan 2023 di sini malam tadi yang perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, kerajaan negeri tidak membatalkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan semua pihak perlu memahami serta membezakan perkara tersebut.
Katanya, beliau melihat perkara tersebut seolah-olah sudah terjadi sedang ia masih peringkat kajian.
Utusan Online semalam melaporkan, kerajaan akan mengadakan perbincangan secara menyeluruh mengenai cadangan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri ini dalam tempoh dua minggu lagi.
Nik Nazmi berkata, mesyuarat yang berlangsung di Putrajaya itu melibatkan Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta kerajaan negeri.
Sebelum itu, Mohamed Fadzli memaklumkan cadangan pengubahsuaian KSAS di Kelantan masih pada peringkat program pendengaran awam (publisiti dan penyertaan awam) yang bermula 11 Oktober hingga 11 November ini.-UTUSAN










