Pendaki wanita patah kaki diselamatkan selepas 17 jam operasi di Pine Tree Hill - Utusan Malaysia

Pendaki wanita patah kaki diselamatkan selepas 17 jam operasi di Pine Tree Hill

OPERASI menyelamat seorang wanita yang patah kaki ketika menyertai aktiviti pendakian di Bukit Fraser di Raub mengambil masa 17 jam sebelum mangsa berjaya dibawa keluar pukul 7 pagi ini. - FOTO IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Operasi menyelamat seorang wanita yang patah kaki ketika mendaki laluan Pine Tree Hill, Bukit Fraser mencabar apabila pasukan bomba bertungkus-lumus meredah trek curam, licin dan gelap sepanjang malam sebelum mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat kira-kira pukul 7 pagi hari ini, selepas kira-kira 17 jam operasi bermula pada 1.40 petang semalam.

Mangsa, Salina Zainal Abidin, 43, dilaporkan mengalami kecederaan serius pada kaki ketika dalam perjalanan dari kawasan Hobbit Cave menuju ke Pine Tree Hill (First Peak) sebelum terpaksa berpatah balik akibat kesakitan yang semakin memuncak.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, pasukan penyelamat tiba di lokasi kira-kira pukul 1.40 petang selepas menerima panggilan kecemasan tentang kejadian tersebut pada pukul 12.13 tengah hari semalam.

“Seramai tujuh anggota terdiri daripada enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub digerakkan ke lokasi bersama seorang Malim Gunung Pahang kemudian memulakan pendakian sejauh kira-kira 2.7 kilometer dari pintu masuk Pine Tree Trail untuk ke lokasi mangsa.

“Operasi menjadi cukup mencabar berikutan keadaan trek berbukit, curam dan licin di beberapa lokasi selain faktor cuaca sejuk di kawasan tanah tinggi,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Salahuddin, sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat mendapati mangsa yang menyertai aktiviti pendakian bersama 20 peserta lain termasuk tiga malim gunung berada dalam keadaan sedar namun tidak lagi mampu meneruskan perjalanan akibat kecederaan serius pada kaki yang dipercayai patah.

“Pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) memberikan rawatan awal sebelum mangsa diusung keluar secara berhati-hati menggunakan pengusung khas bagi mengelakkan kecederaan bertambah buruk,” katanya.

Beliau berkata, operasi membawa turun mangsa memerlukan ketelitian tinggi kerana anggota terpaksa bergerak perlahan meredah laluan sempit, berbatu dan menurun selain berdepan risiko tergelincir di kawasan licin.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih sukar apabila operasi berlanjutan sehingga malam kerana pencahayaan terhad di dalam hutan selain suhu sejuk Bukit Fraser yang boleh menjejaskan pergerakan anggota penyelamat.

“Selepas operasi berlarutan sepanjang malam, mangsa akhirnya berjaya dibawa keluar dan tiba di pintu masuk Pine Tree Trail kira-kira pukul 7 pagi hari ini sebelum dihantar ke Hospital Raub menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN