TUMPAT: Kerja-kerja menaik taraf 151 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang dijalankan di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemantauan rapi secara berterusan terus dilaksanakan bagi memastikan projek tersebut disiapkan mengikut jadual.
Menurutnya, kerja-kerja itu bertujuan memberikan keselesaan yang lebih baik kepada anggota bertugas mengawal sempadan negara.
“Projek ini melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM45 juta sedang berjalan disemua 151 lokasi bermula dari Perlis hinggalah ke Sabah,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pos Nibong milik Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi hari, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.
Utusan Online 22 Jun lalu melaporkan sebanyak 151 pos kawalan Pusat Gerakan Am (PGA) akan dibaik pulih di seluruh negara dengan peruntukan anggaran sebanyak RM45 juta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kos tersebut adalah bagi penambahbaikan termasuk lantai reput dan keadaan pos yang daif.-UTUSAN










