KUANTAN: Selepas lebih 40 jam pencarian, mangsa yang terjatuh dari bot di Sungai Kobat dekat Taman Impian di sini, kelmarin ditemukan lemas kira-kira pukul 2.30 pagi ini.
Mayat Muhammad Firdaus Zuharsema, 26, ditemukan pasukan bomba pada jarak kira-kira 300 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa bersama rakannya, Badrul Afiq Jaillany Zam Zam, 24, dikatakan keluar menjaring ikan menggunakan bot gentian kaca.
Bot yang dinaiki mereka melanggar bongkah kayu menyebabkan mangsa tercampak daripada bot manakala rakannya terlepas kawalan sehingga bot berkenaan berpusing. Rakan mangsa cuba menyelamatkannya selepas mengawal semula bot namun terlambat apabila Muhammad Firdaus tenggelam dan terus hilang.
Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa pada pukul 10.23 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, operasi SAR memasuki hari kedua melibatkan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota, BBP Taman Tas, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit K9 serta beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Amal dan Rela.
“Operasi pencarian dijalankan menggunakan bot penyelamat, selaman oleh PPDA serta bantuan seekor anjing pengesan Unit K9. Pasukan PPDA turut melakukan dua selaman pada kedalaman kira-kira tujuh meter di kawasan pencarian manakala Unit K9 menjalankan pencarian di permukaan air beberapa kali sepanjang operasi,” katanya. – UTUSAN










