HOUSTON: Legenda bola sepak Perancis, Thierry Henry, melancarkan kritikan pedas terhadap Cristiano Ronaldo selepas mendakwa penyerang veteran itu lebih mengejar gol peribadi berbanding kepentingan pasukan ketika Portugal sekadar seri 1-1 dengan DR Congo dalam aksi pembukaan Kumpulan K Piala Dunia 2026.
Henry tanpa berselindung menyifatkan keghairahan Ronaldo memburu jaringan bersejarah akhirnya memakan diri apabila pergerakannya sendiri mengganggu peluang Portugal untuk meraih kemenangan.
“Pasukan yang perlukan gol, bukannya kamu yang perlu menjaringkan gol,” tegas Henry ketika menjadi penganalisis dalam siaran Fox.
Bekas penyerang Arsenal itu merujuk kepada satu gerakan pada babak kedua membabitkan Joao Cancelo dan Bruno Fernandes yang menurutnya memperlihatkan dengan jelas bagaimana Ronaldo gagal membaca situasi.
“Jika dia berlari ke kotak enam ela, pertahanan lawan terpaksa mengikutinya dan Fernandes mempunyai ruang untuk menjaringkan gol.
“Tetapi kerana terlalu mahu menjaringkan gol sendiri, dia masuk ke laluan Fernandes. Kedua-dua mereka berada di kawasan sama dan situasi itu menjadi mudah untuk dipatahkan,” katanya.
Kritikan Henry itu hadir ketika Ronaldo, yang berusia 41 tahun 132 hari, mencipta sejarah sebagai pemain padang tertua pernah beraksi di Piala Dunia.
Namun, rekod itu gagal menutup persembahan hambarnya apabila kapten Portugal berkenaan menamatkan perlawanan tanpa sebarang percubaan tepat ke sasaran.
Ia adalah kali keenam dalam karier panjang Ronaldo di pentas Piala Dunia beliau gagal menghasilkan sepakan tepat, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada legenda hidup itu masih mampu menjadi pemimpin utama Portugal.
Henry turut mendakwa rasa tidak puas hati mula kelihatan dalam kalangan pemain Portugal, khususnya menerusi bahasa tubuh Fernandes yang jelas kecewa.
“Anda boleh lihat reaksi Fernandes seolah-olah berkata, ‘Biarkan bola itu bergerak, buat larian dan cipta ruang supaya saya boleh menjaringkan gol.Itulah masalahnya,” kata Henry.
Keputusan seri itu menyaksikan Portugal memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah sumbang, manakala Ronaldo pula terus dibayangi persoalan sama ada beliau masih aset terbesar Portugal atau sudah menjadi liabiliti yang sukar diketepikan.-AGENSI










