TUDM fokus bangunkan keupayaan selaras agenda CAP55

TUDM fokus bangunkan keupayaan selaras agenda CAP55

MUHAMAD NORAZLAN ARIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberi fokus terhadap pembangunan keupayaan dan kesiapsiagaan operasinya selaras pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau CAP55.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, hala tuju pasukan itu adalah jelas demi memastikan pembangunan keupayaan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan ancaman masa hadapan.

“Bagi merealisasikannya, TUDM sedang memperkukuh tiga bidang utama iaitu Pengukuhan Sistem Pertahanan dan Pemantauan Ruang Udara Negara dengan membangunkan radar pertahanan udara di Bintulu, Bukit Peteri dan Bukit Lunchu termasuk radar pemantauan udara di Pulau Layang-Layang.

“Keupayaan ini penting untuk meningkatkan pengesanan awal selain menutup jurang pemantauan udara kepada negara khususnya di kawasan strategik.

Kedua, TUDM juga akan memperkasakan ‘
Keupayaan Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (ISR) dengan pengoperasian Sistem Pesawat Tanpa Pemandu’ (UAS) ANKA-S, dan persiapan pengoperasian pesawat Maritime Patrol Aircraft, P-72M.

“Ia akan meningkatkan keupayaan dalam pengawasan, pengumpulan maklumat dan pemantauan kawasan kepentingan negara,” katanya dalam ucapan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-68, di sini hari ini.

Hari Ulang Tahun TUDM ke-68 yang bertemakan Kuasa Udara, Perisai Negara berlangsung di Pangkalan Udara Subang, di sini dan turut dihadiri Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim dan bekas-bekas Panglima TUDM.

Muhamad Norazlan berkata, aspek ketiga dalam memperkukuhkan TUDM adalah Pembangunan Juruterbang Pejuang Masa Hadapan melalui program ‘Fighter Lead-In Trainer’ dan ‘Light Combat Aircraft’ atau FLIT-LCA.

“Perolehan pesawat FA-50M akan memperkukuh ekosistem latihan dan pembangunan juruterbang pejuang generasi baharu di samping meningkatkan keupayaan operasi TUDM secara berperingkat dengan memberi pendedahan awal kepada teknologi, avionik serta persekitaran operasi pesawat tempur moden.

“Langkah ini penting bagi memastikan TUDM terus melahirkan generasi juruterbang pejuang yang kompeten, berkeyakinan dan bersedia mengendalikan aset tempur masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, TUDM juga terus memperkukuh dukungan logistik dan penyelenggaraan aset.

Katanya, kerjasama strategik dengan industri pertahanan tempatan akan terus diperkasa bagi meningkatkan keupayaan berterusan, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dan menyokong pembangunan industri pertahanan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN