Janggal, masih ada ruang diperbaiki - Ahmad - Utusan Malaysia

Janggal, masih ada ruang diperbaiki – Ahmad

AHMAD MASLAN (dua dari kiri) menyaksikan Othman Jais (dua dari kanan) menyampaikan surat tauliah kepada Ahli Jawatankuasa Veteran UMNO Bahagian Pontian, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Akta Anti Lompat Parti masih mempunyai ruang untuk diperbaiki kerana terdapat kejanggalan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menukar sokongan baru-baru ini sedang menguji kejituan pelaksanaan akta berkenaan.

Beliau berpendapat, tidak salah jika akta tersebut dipinda berdasarkan kesesuaian oleh Jabatan Perdana Menteri yang kini di bawah Menteri di Jabatan Perdana (Undang-Undang dan Reformasi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Masih ada ruang untuk dibuat pindaan kepada akta ini bagi memberikan kekuatan kepada Akta Anti Lompat Parti kerana perlembagaan juga boleh dibuat pindaan mengikut keperluan,” katanya selepas menyaksikan majlis angkat sumpah dan penyampaian tauliah Jawatankuasa Veteran UMNO Bahagian Pontian di Pejabat Veteran UMNO Pontian, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Veteran UMNO Johor, Datuk Othman Jais dan Pengerusi Veteran UMNO Pontian, Abd.  Rahman Jamat.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, adakah janggal apabila Ahli Parlimen berkenaan duduk di blok yang sama tetapi bertentangan dengan pimpinan pembangkang yang ada di sekeliling mereka.

Jumaat lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa supaya Akta Anti Lompat Parti dikaji semula berikutan terdapat kelemahan susulan tindakan empat Ahli Parlimen parti berkenaan yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun kekal bersama parti.

Empat pemimpin berkenaan ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Ditanya bila waktu sesuai bagi penambahbaikan akta tersebut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berpendapat perkara itu boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Adalah amat janggal apabila ada Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan kita (parti) tetapi kita tidak dapat pecat dia dan hanya boleh digantung sahaja.

“Ini kerana memecat Ahli Parlimen yang menukar sokongan akan menyebabkan parti berkenaan kehilangan kerusi dan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan mengikut Akta Anti Lompat Parti,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.