Isu warganegara: Ahli Parlimen risau pindaan Perlembagaan tidak disokong - Utusan Malaysia

Isu warganegara: Ahli Parlimen risau pindaan Perlembagaan tidak disokong

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang ahli parlimen DAP memberitahu terdapat kemungkinan ahli-ahli parlimen tidak sefahaman dan akan menentang arahan ketua whip di Dewan Rakyat, jika kerajaan tidak menangani dengan baik isu lapan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan.  

Dalam ciapan di aplikasi X hari ini, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berkata, ini sekiranya kerajaan tidak mengasingkan cadangan pindaan undang-undang yang diterima  ahli parlimen manakala sebahagian lagi tidak dipersetujui.

Bagaimanapun, beliau ketika dihubungi enggan memberi maklum balas lanjut  berhubung perkara itu. 

Dalam hantaran tersebut, Howard menyeru semua pihak  perlu merenung seketika berhubung pindaan itu kerana usaha meluluskannya akan gagal  jika ada dalam kalangan ahli-ahli parlimen menentang arahan ketua whip. 

“Dengan hanya mengambil kira maklum balas dalam kalangan orang kami sendiri, jelas bahawa cadangan pindaan jika diteruskan tanpa penyahgandingan, maka ada kemungkinan ada yang terpanggil untuk tidak ikut arahan whip. Renungkan. 

“Satu perkara yang kita tidak mahu ialah jika tekanan untuk pemisahan ini disalah anggap atau disalah guna, sebagai alasan untuk menarik balik pindaan ini sepenuhnya,” katanya dalam hantaran tersebut. 

Pada mesyuarat Dewan Rakyat, Rabu lalu, Howard  mempersoal Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang  berhasrat menerima pakai pendekatan terpisah (decoupling) dengan mengutamakan pindaan-pindaan yang pasti mendapat sokongan ahli parlimen berhubung kewarganegaraan. 

CADANGAN

“Sudah pasti ramai tidak setuju dalam lapan cadangan yang dikemukakan. Adakah kerajaan berhasrat memecahkan pindaan-pindaan ini, contohnya pindaan pertama dan kedua diterima, tiada tentangan. Maka, baik kita tumpu dahulu kepada pindaan tersebut dan letak tepi pindaan yang lain?,” soalnya. 

Pada 18 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Majlis Peguam bimbang berhubung cadangan kerajaan meminda beberapa perkara  dalam Perlembagaan membabitkan kewarganegaraan.

Bagi mereka, ini kerana pindaan tersebut berisiko menyukarkan proses membolehkan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara mendapatkan kerakyatan negara ini.  

Kegusaran itu timbul disebabkan lapan cadangan pindaan Perlembagaan meletakkan banyak syarat, yang dianggap pengamal undang-undang sebagai bukan keperluan utama berkaitan pemberian kewarganegaraan ketika ini. 

Majlis Peguam hanya mahu kerajaan meminda Perlembagaan pada perkataan ‘bapa’ dalam Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua diganti dengan perkataan ‘ibu bapa’. 

BERLAINAN

Katanya, pindaan itu perlu diluluskan terlebih dahulu manakala isu berlainan berkaitan kewarganegaraan dikategori sebagai ‘backburner’ atau perbincangan lanjut. 

Pada Februari lalu, kerajaan bersetuju memberi kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Dalam kertas cadangan sebanyak 10 halaman dilihat Utusan Malaysia, cadangan pindaan lain dikemukakan antaranya berkaitan pemberitahuan kelahiran dalam tempoh satu tahun dari tarikh lahir anak. 

Cadangan lain antaranya memadam perkataan pemastautin tetap dalam Jadual Kedua Bahagian II (Perkara 14(1)(b); meminda ‘tarikh perkahwinan’ dengan ‘tarikh pendaftaran’ dan memasukkan keperluan asas untuk kemahiran berbahasa Melayu dalam Perkara 15(1) Perlembagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya