NIBONG TEBAL: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berharap dapat mengekalkan momentum untuk mempercepatkan proses berkaitan permohonan kewarganegaraan sepanjang tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini, tiga permohonan yang diberi tumpuan oleh pihak kementerian itu melibatkan anak tidak sah taraf, anak angkat serta anak yang lahir di luar negara dengan bapanya bukan warganegara.
“Kita sudah capai KPI (petunjuk prestasi utama) untuk tahun lepas iaitu sebanyak 14,000 (permohonan diproses) sehingga Disember 2023. Sekarang, sudah masuk bulan keenam dan angka itu juga telah mencecah 15,000 atau lebih.
“Sasaran tahun lepas sudah dicapai, Jadi, paling tidak, KDN akan cuba untuk mengekalkan momentum agar semua proses ini berlangsung dengan lebih cepat,” kata beliau semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat India Sungai Bakap di sini, semalam.
Terdahulu, ketika berucap, beliau memberi jaminan akan cuba membantu penduduk di Sungai Bakap yang berdepan dengan isu kewarganegaraan.
Kata Saifuddin, isu berkenaan boleh diselesaikan sekiranya calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap iaitu Dr. Joohari Ariffin diangkat sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu nanti.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, Joohari akan membawa semua masalah rakyat terutama berkaitan urusan dokumen diri, sijil lahir, kad pengenalan diri atau MyKad, MyKid dan kewargenagaraan.
“Semua perkara yang dibawanya (Dr. Joohari) akan sampai. Saya akan bantu sehabis baik masalah yang dihadapi rakyat. Kerana itu, memilih wakil rakyat bererti menolong orang yang selesai masalah rakyat,” kata beliau. – UTUSAN










