Ini tambahan tanggungjawab, 33 juta rakyat jadi keutamaan - Sultan Ibrahim - Utusan Malaysia

Ini tambahan tanggungjawab, 33 juta rakyat jadi keutamaan – Sultan Ibrahim

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR bertitah pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 awal tahun depan bertitah bahawa amanah itu bukan kenaikan pangkat, tetapi tambahan tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga sebagai ketua negara. 

Sultan Ibrahim bertitah, keutamaan baginda bukan untuk menjaga kepentingan politik 222 wakil rakyat, tetapi 33 juta rakyat Malaysia.

“Saya berasakan negara pada hari ini telah dijangkiti satu virus yang pernah saya sebutkan dahulu semasa di Pasir Gudang, iaitu virus perpecahan. 

“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa dan  kedudukan demi kepentingan diri sendiri,” titah baginda pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru, hari ini.

Justeru, baginda menyeru semua pemimpin bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain untuk meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyat. 

Sepanjang tempoh memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, baginda perlu melepaskan tampuk pemerintahan negeri kepada Tunku Mahkota Johor yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan.

Justeru, baginda amanahkan kepada kerajaan negeri untuk memberi tunjuk ajar kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Sama macam mana saya dibimbing sebagai Pemangku Sultan ketika Almarhum  ayahanda saya menjadi Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1984. Pemangku Sultan akan memikul tanggungjawab untuk menjaga negeri dan rakyat Johor serta menjalankan segala hak dan kuasa pemerintahan negeri kecuali sebagai Ketua Agama Islam. 

“Walaupun saya bersemayam di Istana Negara, ini bukan bermakna saya berhijrah terus ke Kuala Lumpur. Saya akan selalu balik ke Johor kerana ini kampung saya. Harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal saya selepas ini,” titah baginda.

Sultan Johor turut mengingatkan para pegawai kerajaan supaya jangan mencampur-adukkan urusan politik dalam pentadbiran kerajaan. 

“Setiap keputusan dibuat hendaklah bersandarkan kepentingan rakyat dan kerajaan, bukan disebabkan kepentingan politik. Jalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan amanah. Anda semua sudah memahami cara saya dan jangan buang masa dan jangan banyak temberang.

“Saya juga akan tinggalkan satu mata dan telinga di Johor untuk memantau apa yang berlaku di sini. Jangan terkejut jika saya tiba-tiba menjelma ke mana-mana daerah,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya