Hospital UCSI ubah landskap penjagaan kesihatan di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Hospital UCSI ubah landskap penjagaan kesihatan di Negeri Sembilan

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan diberikan penerangan daripada Dr. Noor Hisham mengenai kemudahan yang tersedia di Hospital UCSI sempena majlis perasmian hospital berkenaan di Bandar Springhill, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Hospital UCSI yang terletak di Bandar Springhill di sini yang merupakan sebahagian daripada projek Metropolis Kesihatan UCSI mampu mengubah landskap penjagaan kesihatan di negeri ini.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, ia melalui penyediaan penjagaan kesihatan bertaraf tinggi yang ditawarkan Hospital UCSI termasuk kepakaran dan doktor yang mencukupi.

Baginda menjelaskan, menerusinya, penduduk di negeri ini khususnya di sekitar daerah Port Dickson mempunyai banyak pilihan bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan rawatan perubatan.

“Hospital UCSI adalah sebahagian daripada projek UCSI Health Metropolis, iaitu sebuah projek mega yang dirancang menjadikan Bandar Springhill sebagai hab pelancongan kesihatan dan pendidikan. 

“Projek ini dilengkapi pelbagai kemudahan penginapan, pusat konvensyen, kompleks membeli-belah, kemudahan sukan dan makmal penyelidikan.

“Pelaburan di Bandar Springhill dapat menjadikan UCSI sebagai salah satu pelabur terbesar di negeri ini,” titah baginda pada Majlis Perasmian Hospital UCSI di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud

Yang hadir sama, anakanda baginda, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz merangkap Penasihat Kumpulan UCSI dan Pro-Canselor Universiti UCSI.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Dr Zaliha dalam ucapannya berkata, kerjasama di antara Kementerian Kesihatan dan Hospital UCSI bakal membuka peluang baharu dalam bidang industri perkhidmatan kesihatan.

“Saya difahamkan Hospital UCSI ini menyediakan rawatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dalam kepakaran perubatan seperti anestesiologi dan penjagaan kritikal, perubatan kecemasan, pembedahan am dan kolorektal, perubatan dalaman, obstetrik dan ginekologi, ortopedik, trauma, pediatrik dan radiologi.

“Melalui Kertas Putih Kesihatan, saya amat menggalakkan kolaborasi Public-Private Partnership (PPP) bagi membawa perubahan konstruktif dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Malaysia dan saya percaya ia mempunyai potensi untuk diperluas dan dipertingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi.

“Kerjasama PPP ini merupakan lambang komitmen kerajaan Madani untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat, selain merancakkan ekonomi dan memastikan keseimbangan di antara perkhidmatan di hospital kerajaan dan hospital swasta,” katanya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, Hospital UCSI turut bermatlamat memupuk perkongsian awam-swasta yang teguh yang bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan termasuk menangani keperluan unik komuniti kami terutamanya segmen kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40)

“Hospital kami bersedia untuk memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan institusi awam ini dengan menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang komprehensif dan boleh diakses kepada penduduk di wilayah ini. 

“Melalui kerjasama strategik, kami menyasarkan untuk merapatkan jurang perbezaan penjagaan kesihatan dan memastikan penduduk B40 menerima penjagaan yang sepatutnya,” kata beliau.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya