‘Hilang kata-kata anak dilarikan, diacu pisau lelaki Nepal kelaparan’ - Utusan Malaysia

‘Hilang kata-kata anak dilarikan, diacu pisau lelaki Nepal kelaparan’

MUHAMMAD Ridzuan Borhan, isterinya, Izzati Hamzah Awang menunjukkan kesan luka kecil ditangan anak tunggal mereka, Nur Afina semasa ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: “Saya hilang kata-kata apabila lelaki itu mengacukan pisau ke leher anak saya selepas usaha memberikan wang untuk menukar dengan anak ditolak.”

Demikian dikongsikan Muhammad Ridzuan Borhan, 31, bapa kepada Nur Afina, 3, yang ‘ditawan’ lelaki Nepal di Jeniang dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi semalam.

Menurutnya, walaupun kejadian itu antara empat ke lima minit sahaja tetapi saya cemas apabila lelaki itu mengacah-acah untuk menikam Afina selepas menyedari dia dikepung orang ramai.

“Namun tindakan pantas seorang peniaga roti canai yang menangkapnya dari belakang menyelamatkan anak saya daripada diapa-apakan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini semalam.

Mohamad Ridzuan yang be­kerja dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA) berkata, ketika kejadian dia membawa anaknya menaiki motosikal untuk membeli roti canai di sebuah kedai di pekan Jeniang.

ROTI CANAI

“Sampai di kedai itu, saya turun dari motosikal dan menuju ke kedai untuk memesan roti canai manakala anak diletakkan dalam raga motosikal di luar kedai terbabit.

“Sebaik menghampiri motosikal, tiba-tiba seorang lelaki mengambil anak saya dan cuba melarikannya. Saya cuba pujuk dengan menunjukkan sejumlah wang dengan harapan anak saya dikembalikan,” katanya.

Katanya, lelaki itu dilihat bengis dan cuba melarikan anaknya ke seberang jalan menyebabkan dia mengekorinya dan dibantu orang ramai.

“Ketika di seberang jalan, seorang peniaga roti canai menangkap tangan suspek sebelum saya dan orang ramai turut membantu. Syukur anak tidak cedera walaupun terdapat kesan lebam dan luka kecil di tangan dan pipinya,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal semasa kejadian suspek terlalu tertekan dengan hidupnya dan berada dalam keadaan kelaparan kerana sudah beberapa hari tidak makan.

Menurut beliau, uspek ­masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah kilang di Sungai Lalang sejak sebulan lalu namun me­larikan diri daripada majikannya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak daripada penjaga­nya yang sah dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN