PETALING JAYA: Biro Pembangunan Komuniti Wanita PKR menyeru semua pihak untuk menghentikan penyebaran rakaman panggilan video membabitkan dua individu yang mengaibkan di media sosial.
Ketuanya, Rozy Razit berkata, semua pihak perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
“Sementara saya tidak bermaksud menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, saya sangat dukacita dengan penyebaran video tersebut dan percaya penyebaran video itu dilakukan oleh pihak tertentu yang bermotifkan politik bertujuan mendatangkan ketidaksenangan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Pada masa sama, saya ingin mengingatkan bahawa beberapa tahun lalu juga pernah tersebar video yang kononnya membabitkan pemimpin tertentu yang kemudian didiamkan begitu sahaja sehingga kini,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan Biro Pembangunan Komuniti Wanita PKR itu dipercayai merujuk kepada satu rakaman video perbualan lucah yang dilaporkan Utusan Online malam tadi, antara seorang lelaki dengan seseorang yang mirip Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.
Video berdurasi 3 minit 3 saat itu dikongsikan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun aplikasi Tik Tok miliknya.
Menerusi rakaman video itu boleh didengar secara jelas perbualan sesama lelaki itu melalui panggilan video seperti pasangan kekasih yang sedang ‘memancing’ untuk melakukan hubungan intim.- UTUSAN