Benih lewat: Pesawah Perlis, Kedah rugi RM40 juta - Utusan Malaysia

Benih lewat: Pesawah Perlis, Kedah rugi RM40 juta

SEORANG pesawah, Azizan Saad,56, melakukan persediaan mengusahakan tanaman padi meskipun lewat menerima bekalan benih di Simpang Empat, Arau, Perlis, semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kira-kira 71,000 pesawah dalam Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berdepan kerugian sehingga RM40 juta semusim jika mereka lewat mengusahakan sawah disebabkan tiada benih padi.

Isu kelewatan mengagihkan benih kepada pesawah di Kedah dan Perlis bawah MADA yang semuanya berkeluasan 100,000 hektar bukan perkara baharu tetapi berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Bagi keluasan satu hektar ben­dang, pesawah terpaksa me­nge­luarkan kos tambahan se­banyak RM400 bagi tujuan membajak semula, kos racun selain pembaziran sumber bekalan air turut berlaku berpunca tiada benih padi.

Isu lewat agih benih padi itu juga bakal menyebabkan hasil beras akan merudum antara 30 sehingga 40 peratus pada musim ini kerana pembelian padi di kilang-kilang juga merosot.

Jika sebelum ini kilang-ki­lang lazimnya membeli 10,000 tan metrik tetapi musim ini dijangka merudum sekitar 7,000 tan metrik dan jika musim seterusnya lewat lagi kilang dijangka mene­rima sekitar 4,000 tan metrik pa­di sahaja.

Oleh itu, Pengerusi Gabu­ngan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman yang mewakili kilang-kilang lain mengesyorkan agar hak dan le­sen pengilangan benih padi sah hanya diberikan kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).Menurut beliau, antaranya seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), MADA, Felcra dan lain-lain.

DILANTIK

Menurut beliau, pengilang benih yang dilantik itu juga hanya membekalkan benih kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk tujuan agihan kepada pesawah setempat.

“Kaedah ini sahaja dilihat mampu menyelesaikan masalah manipulasi bekalan dan harga benih yang tidak terkawal yang dimainkan oleh pengeluar benih swasta dan juga peruncit-peruncit.

“Selain itu, stok benih padi ini juga perlulah dibekalkan satu bulan lebih awal daripada jadual penanaman bagi setiap kawasan supaya petani dapat memulakan tanaman mengikut jadual pengairan yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, kerja-kerja menanam musim kedua padi di Perlis dan Kedah terganggu apabila kira-kira 90 peratus pesawah dalam kawasan MADA tidak mendapatkan bekalan benih padi sah (BPS).

Krisis yang disifatkan paling buruk itu menyebabkan hanya sekitar 7.4 peratus daripada 9,171 pesawah MADA di Perlis dan hanya 10.1 peratus pesawah di Kedah dapat memulakan tanaman padi mulai akhir September lalu.

Kata Marzukhi, sekiranya pihak GLC tidak mempunyai keupayaan sama ada kepakaran atau kewangan, mereka berhak melantik vendor dari kilang-kilang benih sedia ada bagi mengeluarkan bekalan itu kepada syarikat-syarikat milik kerajaan yang dilantik.

“Apa yang penting, harganya tidak melebihi harga kawalan dan mengikut tempoh masa pembekalan. Kita berharap dengan tersedianya bekalan benih di PPK sebelum bermulanya tanaman kelak mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi dan mengelakkan kelewatan jadual penanaman,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, isu kelewatan benih padi yang terus berlarutan sejak beberapa tahun disyaki berpunca masalah manipulasi daripada syarikat-syarikat pembekal swasta.

Katanya, kerajaan juga perlu mengubah dasar agar hanya satu lesen diberikan iaitu untuk pengeluaran benih sahaja agar mereka lebih fokus menguruskan urusan pembekalan benih ini.

“Sekarang syarikat ini ada dua lesen penghasilan benih dan juga beras menyebabkan ia membuka ruang kepada manipulas. Isu bekalan benih ini bukan baharu malah setiap musim boleh dikatakan berulang sehingga menyusahkan pesawah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN