PETALING JAYA: Pengusaha kantin perlu dibenarkan untuk menaikkan sedikit harga supaya makanan yang berkhasiat dapat dijual, sekali gus membantu menangani isu bantut dalam kalangan murid.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, kos bahan mentah yang meningkat punca pengusaha kantin tidak mampu untuk menyediakan makanan sihat.
KESAN
“Harga makanan perlu dinaikkan supaya kantin dapat menyediakan makanan berkualiti, kerana ia memberi kesan kepada anak dalam pembelajaran, malah ibu bapa juga bertanggungjawab membekalkan makanan sesuai untuk anak-anak,” katanya.
Beliau mengulas laporan sebanyak 29.7 peratus kanak-kanak di negara ini dilaporkan mengalami masalah bantut disebabkan cara pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.
Selain faktor ibu bapa yang tidak mengutamakan makanan berkhasiat, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni mendedahkan ada pengusaha kantin sekolah yang menyediakan menu sosej dalam program Rancangan Makanan Tambahn (RMT).
DIPERLUAS
Mohd. Azizee berkata, Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (Hits) juga perlu diperluas ke seluruh negara bagi menangani isu kurang khasiat.
“Anak dalam kategori luar bandar, miskin bandar dan anak pedalaman perlukan pemakanan sihat supaya dapat menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan lancar,” katanya.
Program Hits mula dilaksanakan pada 2013 di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur dengan penyertaan murid tahun satu dan tahun dua sebelum diperluaskan ke 52 buah sekolah di Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.
Program itu meliputi hidangan pakej makanan berkhasiat yang terdiri daripada sumber karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan bagi memenuhi keperluan kalori dan nutrien murid mengikut waktu makan di sekolah.
Program ini dijalankan secara sukarela bagi ibu bapa yang berminat untuk melibatkan anak dan mereka perlu membayar kos makanan dan ia diuruskan oleh pihak sekolah atau pihak yang dipertanggungjawabkan oleh pihak sekolah.
Sejak 2013 hingga 2020, hanya 72 buah sekolah dari 14 buah negeri menyertai program Hits meliputi 18,138 murid sedangkan terdapat 10,220 buah sekolah melibatkan hampir lima juta murid di seluruh negara.
Ketika ini, Program Makanan Kesihatan (Promak) yang disediakan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menjadi pelengkap kepada program Hits dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi menangani isu kurang nutrisi dalam kalangan murid sekolah.
Dalam program Promak, hampir empat juta hidangan makanan tengah hari bernilai RM6 disediakan kepada murid-murid yang terlibat setiap hari persekolahan.
TIDAK SEPADAN
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Siti Normah Md. Desa menyifatkan, harga makanan di kantin serta harga yang ditetapkan dalam program RMT ketika ini tidak sepadan dengan kos menyediakan makanan berkhasiat.
Katanya, makanan terpilih yang mempunyai nutrisi tinggi seperti brokoli atau lobak merah melibatkan kos tinggi yang membebankan pengusaha untuk menyediakan makanan sihat pada harga rendah.
“Program RMT sekarang yang pada kadar RM3.20 pun pengusaha kantin mengeluh tak balik modal, apatah lagi kalau ditukar menu makanan sihat melibatkan bahan mentah lebih mahal.
“Kalau mahu makanan sihat melalui RMT atau makanan di kantin sekolah, maka harga di kantin sekolah perlu dikaji semula, atau diberikan subsidi yang menampung kos,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN










