Beca Melaka diminta ganti dangdut dengan lagu tradisional

Beca Melaka diminta ganti dangdut dengan lagu tradisional

CADANGAN itu adalah sebahagian usaha untuk memperkenalkan budaya Melaka dengan mengetengahkan lagu-lagu Melayu asli terutama Dondang Sayang kepada pelancong luar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Semua 370 pengusaha beca yang beroperasi di sekitar Banda Hilir di sini diminta memasang lagu kebangsaan dan lagu tradisional Melaka terutama Dondang Sayang, bukannya lagu dangdut ketika membawa pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, saranan itu wajar diikuti oleh pengusaha beca sempena sambutan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Menurutnya, cadangan itu adalah sebahagian usaha untuk memperkenalkan budaya Melaka dengan mengetengahkan lagu-lagu Melayu asli terutama Dondang Sayang kepada pelancong luar.

“Mereka juga diminta untuk tidak memasang lagu terlalu kuat sehingga boleh menimbulkan rasa kacau dan ganggu kepada pelancong yang menaiki beca mengelilingi kawasan Banda Hilir.

“Kita ada menerima banyak aduan daripada pelancong yang berasa tidak selesa dengan bunyi lagu yang dipasang terlalu kuat dan bingit, terutama bila mereka memasang lagu dangdut.

“Bukan tak boleh pasang lagu tetapi biarlah cukup setakat boleh didengar oleh pelancong yang menaiki beca itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Amanat Sempena TMM 2024 dan Pembaharuan Lesen Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dewan Perzim, Jalan Kota di sini, hari ini.

ABDUL RAZAK Abdul Rahman (empat dari kiri) bersama pengusaha beca yang menerima pelekat TMM 2024 pada Majlis Penyampaian Amanat Sempena TMM 2024 dan Pembaharuan Lesen Beca MBMB di Banda Hilir, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Tambah Abdul Razak, pengusaha beca juga diminta tidak mengenakan caj melampau sebaliknya kekal dengan harga RM25 untuk kurang dari sejam dan RM40 untuk sejam.

Menurutnya, kerajaan negeri menerima aduan bahawa segelintir daripada mereka mengenakan ‘harga kayangan’ kepada pelancong.

“Saya harap ikutlah harga standard kalau pelancong tularkan isu negatif ini, secara tidak langsung perkhidmatan beca di Melaka akan memberi kesan kepada semua industri beca,” ujarnya.

Abdul Razak berkata, MBMB bercadang membuka laluan baharu dengan lima pusat hentian beca bagi mengambil serta menurunkan penumpang.

Katanya, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan akan diputuskan sebelum 25 Disember ini.

“Laluan asal dari Dataran Quayside melalui Medan Samudera, Menara Taming Sari dan Bastion House dikekalkan serta ditambah laluan baharu dari Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan melalui Muzium Kesultanan Melayu Melaka serta masuk semula ke Bangunan Stadthuys,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya