Bai'ah 'ikat' Ahli Parlimen Pas dari sokong Anwar - Utusan Malaysia

Bai’ah ‘ikat’ Ahli Parlimen Pas dari sokong Anwar

TUAN Ibrahim Tuan Man bersalam dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa menghadiri Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Palestin di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas mendedahkan kesemua Ahli Parlimen parti itu terikat dengan bai’ah sekali gus membendung mereka daripada menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain itu ia turut memastikan Ahli Parlimen Pas kekal istiqamah bersama parti. 

“Perkara ini dapat kita tangani melalui pengalaman lalu dan kita perkukuhkan. Insya-Allah Ahli Parlimen Pas tidak akan lompat parti atau beralih sokongan. 

“Mereka akan akur dengan apa yang diputuskan oleh parti,” katanya selepas diminta mengulas dakwaan ada dalam kalangan Ahli Parlimen Pas yang didakwa akan menyokong Anwar.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menghadiri Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Palestin di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim memberitahu, setakat ini tiada perbincangan secara khusus dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung isu empat Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Anwar.

Katanya, perjumpaan dengan Bersatu hanya berlaku dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) namun sehingga hari ini tiada perbincangan khusus mengenai perkara tersebut.

Ujarnya, Pas mengambil sikap untuk menghormati keputusan setiap parti kerana mereka mempunyai gabungan serta sebarang isu akan dibincangkan dalam mesyuarat induk PN.

“Namun berikutan apa yang berlaku ini kita tengok ada kelompangan dalam Akta Lompat Parti menyebabkan seseorang Ahli Parlimen boleh menyokong (pemimpin parti lawan) tetapi dia tidak hilang kerusi.

“Bermakna sesiapa sahaja nak sokong boleh sokong dan kekal sebagai Ahli Parlimen. Saya rasa ini diantara isu-isu yang akan berbangkit dan menjadi polemik Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, akta berkenaan perlu disemak, diteliti dan diperkukuhkan kerana jika kekal seperti sedia ada maka ia akan terbuka kepada sesiapa sahaja.

Katanya, bagaimanapun masih ada harapan untuk PN mengambil alih kerajaan berikutan kesemua Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar kekal sebagai Ahli Parlimen PN.

“Walaupun dipindahkan tempat duduk mereka dalam Parlimen tetapi mereka masih lagi Ahli Parlimen PN. Saya tegaskan, mereka masih lagi Ahli Parlimen PN,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya