PETALING JAYA: Pelanggaran bai‘ah organisasi tidak menjadikan seseorang itu kufur serta tidak menjejaskan iman, sebaliknya perlu ditangani melalui pendekatan syariat seperti taubat, kafarah, sumpah dan pampasan.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, isu lafaz bai‘ah politik sering menimbulkan kekeliruan kerana istilah bai‘ah sering disalah fahami oleh segelintir masyarakat.
Katanya, secara asas bai‘ah terbahagi kepada beberapa kategori utama antaranya bai‘ah syar‘i, bai‘ah tarekat dan bai‘ah organisasi.
“Bai‘ah syar‘i adalah akad ketaatan kepada pemerintahan Islam yang berkaitan dengan urusan negara dan umat.
“Hadis berkaitan bai‘ah merujuk kepada khalifah, di mana istilah ‘mati jahiliah’ merujuk kepada khalifah.
“Jemaah merujuk kepada pemerintahan yang sah dan rujukan hadis tersebut adalah berkaitan dengan bai‘ah syar‘i,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan, bai‘ah tarekat merupakan ikatan rohani antara murid dan guru yang bertujuan untuk tazkiyah serta pembentukan akhlak.
Sementara itu, bai‘ah organisasi pula merujuk kepada komitmen dan disiplin dalam sesebuah jemaah serta bukan merupakan bai‘ah kenegaraan.
“Batas ketaatan dalam bai‘ah organisasi terikat dengan syariat dan tidak melibatkan ketaatan mutlak kepada manusia.
“Dari segi implikasi, pelanggaran bai‘ah organisasi tidak menjadikan seseorang itu kufur dan tidak menjejaskan iman.
“Pendekatan syariat dalam menangani pelanggaran tersebut adalah melalui taubat, kafarah, sumpah dan pampasan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Moh. Syahir Che Sulaiman menafikan dakwaan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin bahawa wujudnya lafaz baiah dan sumpah daripada parti itu yang menuntut pemimpinnya menceraikan isteri jika berlaku pelanggaran.
Mohd. Syahir turut memuat naik teks lafaz baiah dan sumpah itu di akaun Facebooknya, sekali gus membuktikan tiada pernyataan yang menuntut mana-mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya menceraikan isteri jika melompat ke parti lain.
Mohd. Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok turut mencabar Mohd. Asri menunjukkan perkara yang ‘memalukan’ di dalam teks lafaz baiah dan sumpah terbabit. – UTUSAN










