KEMAMAN: Satu nama besar dan terkenal di negara ini bakal dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember nanti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, persetujuan telah dicapai antara calon tersebut dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Insya-Allah satu kejutan besar akan berlaku di Kemaman. Calon ini ialah antara nama-nama terkemuka negara,” katanya yang sekali gus mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada PRK tersebut.
DIMAKLUMKAN
Katanya, pengumuman calon BN itu akan dilakukan oleh Ahmad Zahid di Kuala Lumpur pada 13 November ini dan nama calon itu juga sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Jentera PRK Parlimen Kemaman peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin di Chendor di sini, semalam.
Ahmad yang juga Pengarah Jentera BN PRK itu turut menasihatkan agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai calon itu sehingga namanya diumumkan kelak.
“Kita berharap sasaran untuk mendapat 550 undi bagi satu cawangan akan menjadi kenyataan dengan bantuan jentera dari seluruh negara termasuk MCA dan MIC,” katanya.
DUA PERTIGA
Ahmad berkata, kerusi Parlimen Kemaman penting untuk menentukan dua pertiga kerusi dalam Parlimen.
Pada PRU-15 lalu, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon BN, Ahmad (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.
Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, jentera PH akan memberikan sepenuh tenaga bagi memastikan kerusi Parlimen Kemaman dirampas daripada Perikatan Nasional (PN).
“Kita akan menyokong 100 peratus siapa sahaja calon yang diamanahkan. Jentera PH akan menyumbang seluruh tenaga untuk pastikan kita boleh ambil balik kerusi Parlimen Kemaman,” katanya.
Azman berkata, meskipun BN gagal memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lalu dan Pilihan Raya Negeri (PRN), pihaknya yakin dapat merampas kembali kerusi Parlimen itu.
“Tak mustahil (menang) walaupun kita kalah dengan majoriti yang besar. Sekarang ini telah banyak perubahan yang dah dibuat kerajaan,’’ katanya. – UTUSAN










