3,000 penduduk ‘terseksa’ bau najis sejak 15 tahun - Utusan Malaysia

3,000 penduduk ‘terseksa’ bau najis sejak 15 tahun

PENDUDUK menunjukkan pembentung di perumahan Taman Bandar Baru Kuantan Putri, Sungai Soi yang mula dilimpahi air loji kumbahan sebelum mengeluarkan bau busuk. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 3,000 penduduk di Taman Bandar Baru Kuantan Putri, Sungai Soi di sini terseksa apabila terpaksa menghidu bau najis yang mencemari kawasan perumahan mereka lebih 15 tahun.

Difahamkan masalah bau itu berpunca dari loji kumbahan perumahan terbabit yang dibina tidak mengikut piawaian oleh pihak pemaju.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu, Radzali Othman berkata, ber­i­kutan loji kumbahan tidak dibina mengikut piawaian menyebabkan pihak Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) enggan mengambil alih urusan penyelenggaraan.

Menurut beliau, akibat tidak diselenggara, berlaku beberapa kerosakan selain loji terbabit dilihat tidak mampu menampung sekitar 400 unit rumah di kawasan perumahan tersebut.

“Masalah lebih buruk apabila setiap kali musim Monsun Timur Laut (MTL) atau ketika hujan lebat apabila mesin loji terpaksa ‘bekerja keras’ untuk menampung jumlah air yang banyak disebabkan oleh hujan.

“Disebabkan itu juga air loji itu melimpah ke longkang perumahan selain turut mengakibatkan limpahan dalam tandas penduduk sekali gus tandas tidak dapat digunakan.

“Berikutan air dari loji yang ‘ditendang’ keluar itu menimbulkan bau kurang senang terutamanya bagi penduduk yang mengalami masalah air melimpah di longkang dan tandas rumah mereka,” katanya.

Kata Radzali, masalah itu sudah beberapa kali diajukan kepada pihak yang terlibat namun sehingga kini tiada sebarang tindakan.

“Kami memohon kementerian peruntukan RM500,000 untuk penduduk mengambil tindakan membaiki pam, sistem saliran dan beberapa penyelenggaraan membaikpulih loji kumbahan ini yang tidak pernah dibaik pulih lebih 15 tahun lalu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN