KOTA BHARU: Kira-kira 1,000 penjawat awam Wisma Persekutuan Negeri Kelantan menyatakan solidariti terhadap perjuangan dan kesengsaraan rakyat Palestin menerusi pelancaran tabung oleh Kelab Kebajikan Penjawat Awam Wisma Persekutuan (Kesuma) hari ini.
Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Jasri Kasim berkata, tabung yang dilancarkan dalam tempoh dua minggu itu merupakan salah satu inisiatif keprihatinan dalam kalangan penjawat awam di Wisma Persekutuan Negeri Kelantan.
Menurutnya, bagaimanapun, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk tabung berkenaan.
“Ini sebagai tanda mengingati kesengsaraan rakyat di Palestin. Kita turut mengecam tindakan berkenaan dengan melancarkan tabung berkenaan untuk membantu nasib umat Islam di sana.
“Hasil daripada kutipan tabung ini akan diserahkan melalui Wisma Putra yang mempunyai tabung khusus untuk membantu rakyat Palestin,” katanya kepada pemberita selepas Program Keselamatan Solidariti Palestin bersama Penjawat Awam di pekarangan Wisma Persekutuan Kota Bharu di sini hari ini.
Terdahulu, Jasri dalam ucapannya dengan tegas mendesak agar Israel menghentikan segera serangan ke atas Palestin dan mendoakan kemenangan Palestin selain melaungkan laungan ‘Hidup Palestin’ dan ‘Palestin Pasti Merdeka’.
Mengulas lanjut, Jasri berkata, pihaknya turut memohon semua ketua-ketua jabatan untuk sama-sama melancarkan tabung kepada Palestin di jabatan masing-masing.
Katanya, meskipun kecil sumbangan yang dihulurkan, ia amat bermakna buat saudara di Palestin.-UTUSAN










