Zink terpakai jadi dinding pondok empat beranak

Zink terpakai jadi dinding pondok empat beranak

SITI Mariam Razali bersama salah seorang anaknya di hadapan pondok yang dijadikan tempat berteduh di pinggir Kampung Bukit Hijau, Kupang, Baling. – UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Akibat kesempitan hidup sepasang suami isteri bersama dua anak perem­puan mereka terpaksa mendirikan sebuah pondok di pinggir Kampung Bukit Hijau, Kupang di sini sebagai rumah mereka sejak lapan tahun lalu.
Bukan sahaja berdindingkan atap zink lama, malah tiang pondok empat beranak itu menggunakan kayu hutan.
Di situlah tempat Siti Ma­riam Razali, 34, dan suami, Zaifulrizan Zakaria, 43, serta dua anak mereka, Nur Aina Shakira, 9, dan Nur Anilal Syifa, 5, berlindung.
“Suami terpaksa membina pondok ini dengan kayu hutan dan bahan terpakai kerana tidak mampu menyewa atau membina rumah sendiri.
“Dia bekerja sebagai pengait buah sawit dengan pendapatan RM1,500 sebulan, itupun jika dapat kait banyak, kalau tiada buah, hanya RM800 sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Di sebalik kesusahan itu, tanggungjawab pasangan ter­babit memberi pendidikan kepada anak sulung tidak diabai apabila Nur Aina Shakira kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Sheh, Kupang.
“Sebelum ini suami hanya buat kerja-kerja kampung dan pendapatannya tidak menentu.
“Kami pernah minta bantuan rumah daripada pejabat zakat, tetapi permohonan itu senyap begitu sahaja. Kalau boleh kami hendak mohon semula agar anak-anak dapat hidup selesa,” katanya.
Katanya, dia sedih apabila melihat anak-anak tidur di ruang yang sempit selain hujan ekoran bumbung yang bocor.
Siti Mariam berkata, mereka mendapat air bersih daripada bekalan paip masyarakat dengan bayaran RM3 sebulan, namun tiada bekalan elektrik serta tandas dan jika terdesak mereka akan menggunakan tandas di rumah ibunya yang terletak 200 meter.
“Apabila malam, kami menggunakan lampu yang digunakan seperti peniaga-peniaga pasar malam iaitu perlu dicas terlebih dahulu di rumah ibu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×