UMPSA perlu tingkat kerjasama strategik dengan rakan industri - Utusan Malaysia

UMPSA perlu tingkat kerjasama strategik dengan rakan industri

AL-SULTAN ABDULLAH Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan warkah pemasyhuran Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kepada Tengku Hassanal Ibrahim Alam di Dewan Canselori UMPSA, Gambang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) perlu meningkatkan kerjasama strategik dengan pelbagai rakan industri dari dalam dan luar negara bagi mengukuhkan kedudukan penarafannya sebagai sebuah universiti unggul di negeri ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor UMPSA bertitah, jika dilaksanakan secara berterusan, jalinan kerjasama itu dapat memperkasakan bidang akademik, penyelidikan dan juga kebolehpasaran graduan.

“Dalam pada itu, penyelidikan dalam pembangunan mampan dan teknologi hijau juga perlu diperkayakan selaras dengan matlamat pembangunan mampan 2030.

“Begitu juga dengan penyelidikan dalam bidang baharu seperti teknologi robotik dan teknologi tinggi berasaskan kecerdasan buatan yang perlu menjadi keutamaan sejajar dengan keperluan industri negara pada hari ini,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen UMPSA ke-18 di UMPSA Gambang di sini hari ini.

Seri Paduka turut menyempurnakan istiadat pemasyhuran UMPSA dan pengurniaan warkah pemasyhuran Pro-Canselor UMPSA kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam ibni Al-Sultan Abdullah di Dewan Canselori UMPSA.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 4,584 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

AL-SULTAN ABDULLAH Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) beramah mesra bersama graduan yang juga penerima anugerah kecemerlangan bersempena Majlis Konvokesyen ke-18 UMPSA di UMPSA Kampus Gambang di Kuantan, Pahang. – FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, sebagai sebuah universiti berasaskan sains, teknologi dan kejuruteraan, UMPSA perlu memperkasakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dalam Rancangan Malaysia ke-13.

“Momentum kecemerlangan yang berterusan boleh membawa kepada sumbangan yang besar kepada sosio-ekonomi negara sekali gus berupaya meningkatkan taraf hidup rakyat negara ini.

“Dengan itu, universiti ini akan dikenali ramai sebagai sebuah gedung ilmu ternama dengan kualiti pendidikan yang tinggi dan sebuah pusat ke arah membina kesejahteraan dan kemakmuran negara,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda juga mengingatkan bahawa sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengabadikan namanya, reputasi UMPSA secara tidak langsung menjadi tumpuan umum, justeru nama baik universiti terbabit hendaklah dijaga oleh para graduan, ahli akademik, pentadbiran, kepimpinan dan juga lembaga pengarah.

“Graduan yang dilahirkan di universiti ini hendaklah menjadi modal insan yang berkualiti, berkemahiran tinggi, berdaya saing, beramanah dan berintegriti. Selain itu, graduan juga perlu menjadi pemangkin dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat madani yang bersatu padu demi menjamin keamanan dan kestabilan negara kekal terpelihara setiap masa,” titah baginda.

Pada majlis konvokesyen tersebut, baginda menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada 79 penerima ijazah sarjana dan kedoktoran termasuk sembilan anugerah kecemerlangan.

Baginda turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dr. Mortaza Mohamed yang merupakan penganugerahan tertinggi akademik atas pelbagai sumbangan yang dicurahkan kepada universiti dan pendidikan tinggi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya