JEMPOL: Hajat seorang imam mengadakan kenduri akikah cucu keempatnya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia ditimpa buah kelapa yang dikaitnya di Felda Raja Alias 2 di sini.
Aisa Ujang, 66, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jempol.
Isteri mangsa, Zaleha Abd. Rahman, 60, berkata, sebelum kejadian suaminya bersarapan sebelum mahu mengait buah kelapa.
Katanya, selepas itu timbul rasa bimbang apabila dia tidak mendengar bunyi buah kelapa gugur.
“Saya memberitahu anak mahu ke belakang rumah selepas tidak nampak suami, sebelum saya ternampak dia terbaring berhampiran pokok.
“Saya segera bergegas meminta bantuan anak dan jiran.
“Suami tidak pernah kait buah kelapa di pokok paling tinggi itu, tetapi kali ini suami kait dan beberapa biji kelapa sudah dilonggokkan berhampiran.
“Mengikut perancangan pada 28 Oktober ini, kami akan mengadakan kenduri akikah cucu keempat, arwah cukup teruja malah sudah membuat pelbagai persiapan.
“Ia termasuk menempah kambing dan daging untuk dijamu kepada tetamu namun tidak kesampaian dan kami sekeluarga sepakat untuk buat kenduri arwah,” katanya ketika ditemui di Felda Raja Alias 2 di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook memberitahu, doktor yang memberi rawatan kepada mangsa mendapati tiada kesan luka disebabkan senjata tajam seperti parang atau sabit.
Ujar Chang Hook, mangsa mengalami kecederaan dalaman pada kepala akibat kejadian itu. – UTUSAN










