Telefon Nurul Ain pecah, tak dapat dihubungi

Telefon Nurul Ain pecah, tak dapat dihubungi

SERANGAN Israel tidak memadamkan semangat rakyat Palestin di Gaza untuk terus berjuang. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Assalamualaikum, kepada sahabat-sahabat dan saudara mara, untuk makluman telefon bimbit saya pecah, kalau tak dapat dihubungi, maaf ya.”

Itu mesej rakyat Malaysia di Gaza, Nurul Ain Haron dalam laman media sosial Facebook miliknya malam kelmarin.

Nurul Ain, 37, adalah rakyat Malaysia yang kini terkandas di Semenanjung Gaza bersama suaminya rakyat Palestin, Mohamed Adan Shaat, 33, akibat serangan bertali arus tentera zionis sejak 7 Oktober lalu.

Beliau yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama suaminya, pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu untuk bertemu mentuanya yang tidak pernah ditemui sejak melangsungkan perkahwinan enam tahun lalu.

Pada masa sama, kepulangan mereka ke Gaza juga adalah disebabkan Mohamed Adan yang fasih berbahasa Melayu sudah sembilan tahun tidak pulang ke kampung halamannya.

Sementara itu, bapa Nurul Ain, Haron Hamim, 65, turut memaklumkan bahawa anak perempuannya itu tidak dapat dihubungi sejak kelmarin dan mereka amat risau tentang keadaannya di Gaza.

“Saya baru hubungi Nurul Ain tetapi panggilan tidak dijawab dan saya amat risau apa yang sedang berlaku di sana. Saya cuma mendoakan dia dan suaminya selamat dan dapat keluar secepat mungkin,” katanya.

Kelmarin, dalam perbualan Nurul Ain dengan Utusan Malaysia, beliau mengharapkan ada sinar untuk pasangan itu meninggalkan bumi Gaza selepas dimaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Kaherah, Mesir bertemu dengan Presiden Abdel Fattah Al-Sisi.

“Sempadan sudah buka, tapi hanya untuk bantuan (kemanusiaan) masuk. Setakat ini, saya dimaklumkan Perdana Menteri kita ada di Kaherah. Insya-Allah, harapnya ada sinar (untuk keluar dari Gaza),” katanya.

Walaupun terkandas di Gaza, Nurul Ain dan suami tidak hanya berpeluk tubuh sebaliknya beliau turut melakukan kerja-kerja kemanusiaan dengan menggunakan duit sumbangan rakan Facebook dan saudara maranya untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 60 plastik barangan keperluan harian kepada penduduk terjejas.

Hari ini (25 Oktober), beliau dan suami sepatutnya dijadualkan meninggalkan melalui Rafah sebelum menaiki penerbangan pulang ke UAE jika peperangan tidak berlaku di Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN