Syarikat juga jadi mangsa scammer, e-mel digodam

Syarikat juga jadi mangsa scammer, e-mel digodam

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket penipuan kini aktif memperdaya entiti perniagaan di negara ini dengan menggodam e-mel syarikat bagi mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Dari 2021 hingga Ogos lalu, sebanyak 132 kes membabitkan entiti perniagaan atau Business E-Commerce (BEC) dengan kerugian bernilai RM124.5 juta dicatatkan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jika sebelum ini ‘scammer’ memperdaya individu, namun kini sindiket berkenaan aktif menyasarkan entiti perniagaan.

Beliau berkata, modus ope­randi sindiket penipuan dengan mencipta e-mel yang seakan-akan sama dengan vendor kepada syarikat berbentuk phishing bagi mengelirukan mangsa.

Katanya, scammer kemudiannya akan menghantar e-mel bagi meminta pihak syarikat membuat pembayaran atau pembelian ke akaun bukan milik vendor.

“Contohnya, baru-baru ini kita berjaya menyekat transaksi ke Itali lebih RM20 juta yang dibuat oleh sebuah syarikat kepada ‘vendor’ yang sebenarnya scammer atas bantuan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Dalam tempoh tiga tahun ini, sebanyak 132 kes dengan kerugian RM124.5 juta dicatatkan berkaitan kes penipuan membabitkan entiti perniagaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ramli berkata, jumlah tersebut membabitkan 57 kes pada 2021 dengan kerugian RM49.25 juta, 42 kes pada 2022 (RM28.38 juta) dan 33 kes (RM46.9 juta) untuk lapan bulan tahun ini.

Jelasnya, siasatan mendapati kebanyakan kes dikesan pihaknya melibatkan syarikat-syarikat kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN